Syarikat Takaful Malaysia dijangka catat prestasi kewangan lebih kukuh disokong perubahan strategi produk - Affin Hwang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat Takaful Malaysia dijangka catat prestasi kewangan lebih kukuh disokong perubahan strategi produk - Affin Hwang

Gambar/Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (STMB)
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 12 Jun - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (STMB) dijangka mencatat prestasi kewangan lebih baik dalam tempoh akan datang, disokong oleh perubahan strategi produk dan keuntungan yang semakin meningkat.

 

Affin Hwang Investment Bank Research mengekalkan cadangan 'beli' saham syarikat itu dengan harga sasaran RM3.80 bagi tempoh 12 bulan. 

 

Menurutnya, perubahan dalam model perniagaan STMB boleh mempercepat keuntungan dan memberi pulangan lebih baik dalam jangka panjang.

 

STMB kini memberi tumpuan kepada produk kredit takaful berjangka pendek, terutama pembiayaan peribadi, yang kini semakin menggantikan produk takaful jangka panjang seperti takaful gadai janji (MRTT).

 

"Nisbah produk MRTT kepada pembiayaan peribadi telah berubah dengan ketara daripada 65:35 kepada 32:68. 

 

"Perubahan ini berlaku kerana rakan perbankan mengehadkan tempoh pembiayaan semula gadai janji kepada 10 tahun, menyebabkan lebih ramai peminjam memilih pelan pembiayaan peribadi," katanya dalam satu nota kajian.

 

Affin Hwang menjelaskan, perubahan tersebut membolehkan STMB menjana keuntungan lebih awal kerana perkhidmatan disediakan dalam tempoh yang lebih singkat.

 

Walaupun kesan sepenuhnya belum dirasai pada tahun 2025, firma penyelidikan itu menjangka peningkatan ketara akan mula kelihatan pada separuh kedua tahun ini dan seterusnya, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan dan pulangan syarikat.

 

Firma penyelidikan itu turut menyatakan, kenaikan kos perubatan dan pelarasan harga premium tahunan telah menyebabkan permintaan terhadap pelan takaful perubatan dan hospital menurun.

 

Namun katanya, situasi tersebut memberi peluang kepada pengendali takaful seperti STMB kerana semakin banyak pelanggan mengurangkan perlindungan perubatan, sekali gus boleh meningkatkan keuntungan syarikat.

 

STMB kini memberi tumpuan kepada keuntungan dengan hanya menerima pelanggan atau akaun yang berkualiti dan berisiko rendah.

 

Pada suku pertama 2025, segmen manfaat pekerja STMB meningkat sebanyak 77% berbanding tahun lalu, disumbangkan oleh pertambahan pelanggan dan pelarasan harga.

 

Dari segi nilai pelaburan, saham STMB masih menarik kerana diniagakan pada nisbah harga-keuntungan sebanyak 7.6 kali, iaitu lebih rendah berbanding purata pesaing yang sekitar 10.5 kali. 

 

Syarikat juga dijangka memberi dividen antara 5.2% hingga 5.5% bagi tahun 2025 hingga 2027. - DagangNews.com