Syarikat perladangan segmen oleokimia diramal terjejas akibat lebihan bekalan, kata AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat perladangan segmen oleokimia diramal terjejas akibat lebihan bekalan, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 April - Syarikat perladangan yang terlibat dalam operasi hiliran, khususnya dalam segmen oleokimia diramal terjejas disebabkan permintaan global yang perlahan akibat faktor lebihan bekalan serta persaingan yang semakin sengit daripada pengeksport Indonesia dan China tahun ini.

 

AmInvestment Bank berkata, situasi mencabar menanti syarikat industri oleokimia, walaupun terdapat penangguhan selama tiga bulan dalam tarif Amerika Syarikat (AS) yang membolehkan pelanggan menambah inventori mereka.

 

Firma penyelidikan itu, yang menurunkan penarafan sektor perladangan kepada “neutral” daripada “overweight”, menyatakan mereka lebih menyukai syarikat perladangan tulen berbanding syarikat perladangan bersepadu besar.

 

AmInvestment menurunkan penarafan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dan IOI Corp Bhd kepada “pegang” dengan harga sasaran (TP) baharu masing-masing pada RM21.71 dan RM4.05.

 

Bagaimanapun, ia mengekalkan penarafan “beli” terhadap Genting Plantations Bhd (TP: RM5.84), Johor Plantations Group Bhd (TP:RM1.67) dan TSH Resources Bhd (TP: RM1.38).

 

Firma penyelidikan tersebut juga mengurangkan anggaran nisbah harga kepada pendapatan (PE) serta keuntungan bersih syarikat perladangan bersepadu besar.

 

“Kami telah menurunkan keuntungan bersih KLK, IOI dan Sime Darby Guthrie Bhd sebanyak 5% hingga 10% bagi mengambil kira hasil dan margin keuntungan sebelum cukai yang lebih lemah bagi segmen hiliran,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil hiliran bagi ketiga-tiga syarikat tersebut merosot antara 13% dan 20% pada 2023, selepas melonjak pada 2022 disebabkan harga jualan yang lebih tinggi.

 

“Kami percaya, harga jualan produk oleokimia seperti asid lemak dan alkohol lemak akan berada di bawah tekanan pada separuh kedua 2025,” katanya.

 

Selain itu katanya, pelanggan di Eropah dan Asia mungkin menangguhkan atau menghentikan pesanan disebabkan tarif dan ketidaktentuan ekonomi.

 

“Kami juga telah mengurangkan anggaran PE kami memandangkan pasaran sedang dinilai semula akibat tarif,” katanya lagi.

 

AmInvestment berkata, harga jualan produk oleokimia akan terus ditekan disebabkan lebihan bekalan dan permintaan global yang lemah.

 

Katanya, persaingan dari Indonesia dijangka meningkat memandangkan republik tersebut mengeksport sebahagian besar produk oleokimianya ke AS.

 

Indonesia merupakan pengeluar produk oleokimia terbesar dunia dengan kapasiti pengeluaran melebihi 23 juta tan setahun manakala kapasiti pengeluaran oleokimia Malaysia adalah sekitar 2.6 juta tan setahun.

 

Selain Indonesia, syarikat oleokimia Malaysia turut menghadapi persaingan dari China apabila permintaan dalam negara tersebut perlahan.

 

Kapasiti pengeluaran oleokimia China dianggarkan melebihi lima juta tan setahun.

 

Syarikat dari Indonesia dan Malaysia yang mempunyai operasi oleokimia di China sedang meningkatkan kapasiti mereka, termasuk KLK yang sedang memperluas kilangnya di Zhangjiagang, Suzhou kepada 500,000 tan setahun, Wilmar International Ltd (1.5 juta tan setahun) dan Apical Oleochemical (600,000 tan setahun).

 

Sebaliknya, China mungkin akan meningkatkan pembelian minyak sawit berikutan pengurangan import kacang soya dari AS.

 

“Disebabkan kacang soya AS akan menjadi lebih mahal, kami percaya China akan membeli lebih banyak kacang soya dari Brazil dan minyak sawit dari Indonesia serta Malaysia. Kami menjangkakan kebanyakan pembelian ini akan berlaku pada separuh kedua 2025 kerana buat masa ini, China mungkin masih mempunyai rizab yang mencukupi,” katanya. - DagangNews.com