NAIROBI 20 Nov – Syarikat-syarikat Malaysia terutamanya dalam sektor teknologi pertanian dipelawa meninjau potensi pelaburan di Kenya, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke negara it, Ruzaimi Mohamad.
Kenya memberi peluang besar kepada pasaran Afrika lebih-lebih lagi dengan pelancaran penerbangan terus Kuala Lumpur ke Nairobi oleh syarikat penerbangan AirAsia X bermula 15 November lalu, kata beliau.
Ruzaimi berkata, Kenya adalah sebuah negara pertanian yang memerlukan suntikan teknologi terbaharu dalam sektor tersebut dan Malaysia memiliki kelebihan dalam aspek ini.
Menurutnya, kedua-dua negara berkongsi hubungan sejarah, komersial dan budaya yang mendalam, perdagangan dan pelaburan mereka masih belum disambungkan dengan cara yang bermakna.
Mengakui jumlah perdagangan antara Kenya dan Malaysia agak kecil dan memihak kepada Malaysia, Ruzaimi berkata, ia berpotensi berkembang dengan adanya penerbangan terus KL ke Nairobi yang memendekkan waktu perjalanan.
“Jika dulu untuk ke Kenya, kita dari Malaysia harus memilih sama ada transit di Dubai atau Timur Tengah, kini dengan AirAsia penerbangan terus ke Nairobi mengambil masa kurang daripada 10 jam,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia semasa majlis makan malam di sebuah hotel di Nairobi yang dihoskan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya sempena meraikan penerbangan sulung AirAsia X ke negara itu, pada Sabtu lalu.
Antara yang hadir ialah Ketua Pengarah Asia dan Pasifik, Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri, Kerajaan Republik Kenya, Jane Makori; Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia, Ekitela Moru; Pengerusi Eksekutif Capital A Berhad, Datuk Kamarudin Meranun; Pengerusi Airasia, Dato' Fam Lee Ee; CEO AirAsia, Benjamin Ismail dan Ketua Pegawai Komersial, Penerbangan AirAsia Paul Carroll.

Berdasarkan data terkini pejabat Matrade di Kenya, eksport utama Malaysia ke Kenya adalah minyak sawit dan produk petroleum, manakala import pula adalah bijih logam dan produk pertanian.
Jumlah keseluruhan dagangan Kenya-Malaysia pada 2023 ialah AS$1.19 juta dengan nilai eksport Malaysia lebih tinggi sebanyak AS$1.17 juta berbanding import Kenya sebanyak AS$23.2 juta.
Tahun ini setakat September lalu, nilai dagangan ialah AS$765.5 juta eksport Malaysia ialah AS$756.6 juta manakala import Kenya ke Malaysia hanya AS$8.9 juta.
Ruzaimi berkata, Kenya kekal sebagai rakan dagangan import bagi Malaysia di rantau Timur dan Afrika Tengah dengan jumlah nilai perdagangan dijangka meningkat 10 peratus bagi tahun 2024 dan juga tahun 2025.
Syarikat Malaysia yang bertapak di Kenya belum banyak, dan satu daripadanya ialah BSMART System Solutions Sdn Bhd iaitu syarikat milik penuh Malaysia yang diperbadankan pada 2013.
Syarikat ini menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian telematik Internet of Things (IoT). BSMART mencipta Teknologi Front End Intelligence (FEI) yang merevolusikan penyelesaian telematik daripada sistem pengesanan yang responsif kepada sistem bersepadu yang membolehkan pengurusan pengangkutan interaktif masa nyata, pintar dan dipacu peristiwa yang memantau, berkomunikasi, menilai dan bertindak balas kepada acara secara dinamik.

Satu projek utama syarikat itu ialah kontrak membekalkan sistem pengesanan kargo elektronik serantau (RECTS) untuk pelaksanaan di pelabuhan Mombasa, Kenya, yang akan digunakan oleh Penguasa Pelabuhan Kenya (KPA), Pihak Berkuasa Hasil Kenya (KRA), Pihak Berkuasa Hasil Uganda (URA), Pihak Berkuasa Hasil Rwanda (RRA) dan Pihak Berkuasa Hasil Republik Demokratik Congo (DRC).
Pelaksanaan sistem pengesanan akan membolehkan pegawai memantau penyiapan pengangkutan kargo dari pelabuhan Mombasa, Kenya, dan pemindahan kargo ke Uganda dan Rwanda. - DagangNews.com








