Syarikat khidmat latihan, PEOPLElogy meterai perjanjian taja jamin dengan Kenanga Investment menjelang IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat khidmat latihan, PEOPLElogy meterai perjanjian taja jamin dengan Kenanga Investment menjelang IPO di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mac - Syarikat perundingan, latihan dan transformasi tenaga kerja digital, PEOPLElogy Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan Kenanga Investment Bank Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu menyasarkan untuk melancarkan IPO pada suku kedua 2025.

 

IPO yang dicadangkan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 105 juta saham baharu dengan Kenanga menaja jamin 32.9 juta saham yang terdiri daripada 20.59 juta sahamm mewakili bahagian yang disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian dan 12.35 juta saham diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak, serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan Syarikat.

 

Daripada baki 72.06 juta, sejumlah 51.46 juta akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala baki 20.6 juta akan diperuntukkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Kumpulan itu mempunyai pengkhususan dalam rumusan pembangunan insan bersepadu merentas tiga segmen perniagaan utama iaitu penemuan, pembangunan dan digital.

 

Segmen penemuan memberi tumpuan kepada perkhidmatan perundingan bakat organisasi dan penilaian profil.

 

Segmen pembangunan menawarkan latihan dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), kemahiran insaniah dan kepimpinan, bersama-sama dengan pensijilan kemahiran digital IR4.0 termasuk penganjuran persidangan, dan seminar mengenai sumber manusia.

 

Segmen digital menyediakan sistem pengurusan pembelajaran dan prestasi, platform pembelajaran dalam talian, dan perkhidmatan pendigitalan kandungan latihan.

 

Hasil IPO itu akan digunakan untuk membiayai pengembangan perniagaannya termasuk penubuhan makmal simulasi komputer Cyber ​​Range; pengembangan melalui pelaburan strategik, peluang penggabungan dan pengambilalihan; Penyelidikan & Pembangunan perisian (R&D); pembesaran pejabat dan pusat latihan di Malaysia Timur, Indonesia, dan Filipina; selain penubuhan pejabat serantau di Singapura. 

 

Baki hasil akan digunakan untuk modal kerja am dan perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengarah Eksekutif /Pengarah Urusan PEOPLElogy, Allen Lee berkata, IPO itu membolehkan pihaknya memudahkan pengembangan perniagaan di peringkat tempatan dan serantau.

 

"Visi kami adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran bakat korporat untuk memenuhi permintaan organisasi dan kekal relevan dalam ekonomi digital dan berasaskan pengetahuan," katanya.

 

Kenanga Investment Bank merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO.- DagangNews.com