KUALA LUMPUR 1 Julai – Supratechnic (M) Sdn Bhd, anak syarikat USP Group Limited dari Singapura, memeterai perjanjian pengedaran eksklusif dengan Hangzhou Hidea Power Machinery Co Ltd, pengeluar utama enjin sangkut dari China.
Perjanjian itu memberi hak tunggal kepada Supratechnic untuk mengedar keseluruhan rangkaian enjin sangkut, alat ganti, dan aksesori Hidea di Malaysia dan Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif Supratechnic, Melvin Tan berkata, syarikat berbesar hati menjadi rakan eksklusif kepada Hidea, jenama yang menampilkan keunggulan kejuruteraan, kelestarian alam sekitar, dan kecekapan kos.
"Kerjasama ini juga membolehkan kami menawarkan pilihan marin secara meluas dan inovatif, disokong perkhidmatan selepas jualan dan kepakaran teknikal yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan.
Hidea memiliki antara kemudahan pembuatan enjin marin tercanggih di dunia yang berpangkalan di Hangzhou, China.
Sementara itu, Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif Hidea, Zheng Huali berkata, syarikat berbangga dapat bekerjasama dengan Supratechnic, antara pengedar marin yang paling kukuh dan dipercayai di Asia Tenggara.
"Kami komited untuk menyediakan enjin sangkut komersial yang stabil, perkhidmatan unggul dan model berkuasa tinggi yang direka untuk beroperasi dengan boleh dipercayai," katanya.
Lebih 70% daripada pengeluaran tahunan sebanyak 100,000 unit dieksport ke lebih 80 negara termasuk Eropah, Amerika Utara, dan Australia.
Semua produknya mematuhi piawaian dan pensijilan antarabangsa seperti ISO9001, CE Kesatuan Eropah (EU), dan U.S. EPA.
Kerjasama itu turut melibatkan pemasaran berjenama serta penyertaan dalam ekspo marin kebangsaan bagi mengukuhkan kehadiran Hidea di rantau ini.
Supratechnic akan melaksanakan latihan dalaman untuk pasukan jualan dan teknikal serta melancarkan kempen pelancaran di seluruh negara sejajar dengan tarikh kuat kuasa perjanjian.
Syarikat turut menyelaras logistik, perancangan stok, dan pengagihan cawangan mengikut unjuran permintaan.- DagangNews.com








