KUALA LUMPUR 13 Mei - Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) mencatatkan hasil sebanyak RM223.0 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (Q1 FY2026), meningkat 2% berbanding RM218.9 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pengurusnya, Sunway REIT Management Sdn. Bhd. berkata pendapatan bersih hartanah (NPI) turut meningkat 5% kepada RM164.4 juta daripada RM157.2 juta sebelum ini, dipacu terutamanya oleh prestasi kukuh segmen runcit serta penurunan kos operasi hartanah.
Menurutnya, pengurangan kos utiliti susulan pelaksanaan tarif elektrik baharu bermula Julai 2025 turut menyokong peningkatan prestasi tersebut, namun sedikit diimbangi oleh kelemahan dalam segmen hotel.
Segmen runcit kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan apabila mencatat hasil RM185.0 juta, meningkat 10% tahun ke tahun, manakala NPI melonjak 17% kepada RM136.3 juta.
Prestasi itu disokong oleh siapnya kerja naik taraf Sunway Carnival Mall pada Mei 2025 serta sumbangan penuh daripada AEON Mall Seri Manjung selepas pengambilalihan pada Julai 2025, selain kos operasi yang lebih rendah.
Bagi segmen hotel, hasil susut 19% kepada RM13.0 juta berikutan aktiviti pelancongan yang lebih perlahan selepas musim puncak serta tempoh Ramadan, selain kesan konflik geopolitik yang menjejaskan perjalanan dan aktiviti MICE.
Namun begitu, Sunway Putra Hotel dan Sunway Hotel Seberang Jaya mencatat prestasi lebih baik disokong permintaan kumpulan dan pelancongan perubatan, masing-masing.
Segmen pejabat pula mencatat penurunan marginal 1% kepada RM20.3 juta, dipengaruhi kadar penghunian lebih rendah di Wisma Sunway, namun NPI kekal stabil pada RM12.4 juta.
Sunway REIT berkata pengurusan telah memperoleh penyewa baharu bagi Wisma Sunway dan menjangkakan penghunian penuh menjelang suku keempat 2026, selain meneruskan inisiatif naik taraf aset bagi meningkatkan daya saing.
Sementara itu, segmen industri dan lain-lain mencatat pertumbuhan kukuh dengan hasil meningkat 15% kepada RM4.8 juta dan NPI naik 21% kepada RM3.9 juta, disokong peningkatan kadar penghunian di Sunway REIT Industrial – PJ 1.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn. Bhd., Derek Teh Wan Wei berkata prestasi suku pertama FY2026 mencerminkan ketahanan portfolio pelbagai aset kumpulan, dengan segmen runcit terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.
“Walaupun segmen hotel berdepan tekanan operasi, portfolio kami kekal stabil disokong kepelbagaian aset dan pengurusan kos yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata, Sunway Carnival Mall mencatat pertumbuhan jualan runcit lebih 16% tahun ke tahun, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi runcit utama di tanah besar Pulau Pinang.
Mengulas prospek, Sunway REIT berkata kumpulan kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan makroekonomi dan geopolitik global, namun akan terus memberi fokus kepada pengoptimuman operasi, strategi penyewaan proaktif, serta inisiatif kelestarian bagi menjana nilai jangka panjang kepada pemegang unit. - DagangNews.com








