Sunway ambil peluang pelaburan asing, luaskan operasi industri - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway ambil peluang pelaburan asing, luaskan operasi industri - HLIB

Gambar/Sunway Group
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 30 Jun - Malaysia terus menarik pelaburan dalam sektor perindustrian susulan usaha syarikat global mempelbagaikan rantaian bekalan mereka, menurut HLIB Research.

 

Situasi itu turut memberi manfaat kepada Sunway Bhd, yang kini mengukuhkan kedudukannya dengan membeli tanah baharu di Rawang, Selangor.

 

Syarikat tersebut baru sahaja membeli tanah pegangan bebas seluas 40.3 hektar di Kuang pada harga RM65.1 juta, menjadikan keseluruhan pegangan tanah Sunway di Rawang kini mencecah 139.6 hektar, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM2.7 bilion.

 

HLIB menjelaskan, saiz tanah berkenaan yang lebih besar membolehkan Sunway menjimatkan kos pembinaan infrastruktur dan pemasaran kerana ia boleh diagihkan kepada projek yang lebih besar, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan pulangan pelaburan.

 

"Walaupun Sunway sebelum ini hanya membangunkan projek industri berskala kecil di Subang dan Dengkil, ini adalah projek taman industri berskala penuh yang pertama bagi kumpulan," kata HLIB dalam satu nota kajian.

 

Tanah baharu itu akan dibangunkan sebagai taman teknologi industri, dengan pelancaran dijangka pada suku pertama 2028, selepas pembinaan susur keluar ke Lebuhraya LATAR siap.

 

Sunway memperoleh tanah tersebut melalui Sunway Rawang City Bhd, usaha sama antara Sunway (70%) dan Amal Resources (30%). 

 

Urus niaga itu dijangka selesai menjelang suku keempat 2025.

 

Daripada jumlah keseluruhan, seluas 26.8 hektar tanah tersebut diwartakan untuk kegunaan industri, 9.7 hektar bagi zon pertanian dan 3.8 hektar untuk pencawang elektrik. 

 

Sunway dijangka perlu menanggung kos tambahan untuk menukar status tanah pertanian kepada tanah industri. 

 

Ini akan menaikkan kos tanah kepada sedikit lebih 10% daripada GDV, namun masih dalam julat biasa iaitu antara 10 hingga 20% bagi tanah industri di Lembah Klang.

 

HLIB mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Sunway dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM5.90 sesaham.

 

"Dengan peranan Sunway yang semakin besar dalam ekonomi negara, saham syarikat itu dilihat mewakili prestasi ekonomi Malaysia yang kini memasuki fasa pertumbuhan baharu," kata HLIB. - DagangNews.com