KUALA LUMPUR 28 Ogos – Sunview Group Berhad peneraju tenaga boleh diperbaharui (RE) yang terlibat dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), menjelaskan mengenai perkembangan tindakan undang-undang membabitkan anak syarikat milik penuh, Fabulous Sunview Sdn. Bhd. (FSSB) dan TSS Cemerlang Sdn. Bhd. (TSS Cemerlang).
Dalam kenyataan hari ini syarikat itu menjelaskan pertikaian itu berpunca daripada sebuah projek di mana FSSB menuntut haknya ke atas prestasi kontrak TSS Cemerlang.
Pada 7 Ogos 2025, Mahkamah Tinggi memutuskan memihak kepada TSS Cemerlang dengan mengesahkan keputusan adjudikasi bertarikh 8 April 2025 dalam prosiding CIPAA, sekali gus membenarkan penguatkuasaan award.
Sehubungan itu, FSSB diperintahkan membayar RM1.67 juta kepada TSS Cemerlang dengan kadar faedah 5% setahun bermula 8 April 2025 sehingga penyelesaian penuh, selain kos lain melibatkan RM18,390.74, kos prosiding adjudikasi RM30,000 serta kos plaintif RM5,000 yang tertakluk kepada fi pengagih sebanyak RM200.
FSSB menegaskan bahawa proses adjudikasi di bawah CIPAA hanyalah mekanisme pembayaran interim dan bukan penentuan muktamad terhadap hak serta obligasi kedua-dua pihak. Keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini hanya menilai keadilan proses adjudikator tanpa menyentuh merit substantif pertikaian.
Sementara FSSB menghormati keputusan Mahkamah dan telah melunaskan bayaran seperti diarahkan, syarikat juga sedang menilai opsyen undang-undang lain untuk mempertahankan kepentingannya.
Pengarah Eksekutif Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sunview, HP Ong, berkata, di Sunview, kami mengutamakan integriti dan akauntabiliti dalam setiap urusan.
"Kami komited menunaikan obligasi kontrak sambil memastikan layanan adil kepada semua pihak. Selaras dengan komitmen ini, kami telah membuat bayaran yang diarahkan Mahkamah Tinggi dengan segera.
"Walaupun menghormati proses undang-undang, kami tetap teguh dalam usaha mendapatkan keadilan dan akan proaktif meneroka semua saluran undang-undang yang ada untuk mencapai penyelesaian adil serta seimbang,” katanya. - DagangNews.com








