KUALA LUMPUR 13 Mac - Suntikan pelaburan sebanyak RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bukan berbentuk 'dana hangus', sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula syarikat itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, suntikan pelaburan itu dijadikan sebagai modal pinjaman supaya pengurusan syarikat apabila mendapat keuntungan, akan memulangkan semula dana berkenaan.
“Apakah dana ini dana hangus? Tidak. Apa yang dilakukan ialah suntikan ini akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baharu, mudah-mudahan, akan mengurus dengan lebih baik, mendapat keuntungan dan membayar semula dana suntikan RM1.1 bilion.
“Ia bukan suntikan dana tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan (MOF) di sini, hari ini.
Anwar berkata keputusan itu dibuat selepas melalui proses ketat termasuk pelaksanaan audit forensik oleh firma perakaunan antarabangsa Ernst & Young (EY) bagi mengenal pasti masalah sebenar dalam syarikat tersebut.
Beliau berkata, suntikan modal itu adalah khusus untuk pembayaran hutang SEB dengan vendor iaitu melibatkan 2,000 vendor persusahaan kecil dan sederhana (PKS) minyak dan gas tempatan yang majoritinya syarikat Bumiputera.
Katanya, ia adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB dan ia adalah untuk membantu dan menyelamatkan pekerja tempatan yang telah sekian lama tidak menerima bayaran bagi perkhidmatan mereka.
"Ia juga penting untuk menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan. Amat penting untuk ditegaskan bahawa suntikan modal ini juga tidak sama sekali memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB.
"Dalam penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan SEB. Pengurusan baharu profesional dilantik untuk melaksanakan penstrukturan semula syarikat itu," katanya.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan Madani tetap mengutamakan ketelusan dan amalan tatakelola baik dalam pengurusan.
Beliau berkata, penstrukturan semula SEB telah melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah.
"Suntikan kerajaan bukannya geran tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem O&G yang strategik untuk ekonomi negara," katanya.- DagangNews.com








