KUALA LUMPUR 3 Mac - Sunmax Petroleum Sdn Bhd membeli lapan unit trak Quester baharu dalam usaha bagi menyokong operasi pengangkutan bahan api termasuk petrol, diesel dan pelincir oleh syarikat.
Pembelian itu dibuat hasil kerjasama dengan UD Trucks dan rakan pengedar tunggal Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE).
Lapan unit trak baharu itu terdiri daripada empat unit model Quester CWE, dan dua unit model Quester GWE dan GKE setiap satunya yang akan digunakan untuk pengangkutan diesel dan bahan api di Semenanjung Malaysia.
Model Quester CWE dan GWE ialah trak konfigurasi gandar 6x4 dengan kuasa kuda antara 330 hingga 440, manakala model Quester GKE ialah trak konfigurasi gandar 4x2 dengan 390 kuasa kuda.
Kesemua trak tersebut dilengkapi dengan enjin 11 liter GH11E yang dicipta untuk pengeluaran tork yang berkuasa dan penggunaan bahan api yang cekap melalui operasi kelajuan enjin yang rendah.
Trak-trak itu dilengkapi kotak gear 9 dan 12 kelajuan dan sistem brek udara penuh serta sistem brek enjin tambahan serta UD Connected Services, iaitu sistem pengurusan armada yang berkomunikasi tanpa wayar dan berteknologi tinggi bagi membantu syarikat menguruskan armada mereka dengan lebih berkesan.
Pengarah Urusan, Sunmax Petroleum Sdn Bhd, Siow Wee Chuan berkata, pihaknya teruja dengan penambahan trak Quester dalam armada syarikat yang juga menandakan permulaan hubungan dengan UD Trucks.

"Kami memilih Quester selepas membuat perbandingan dan penilaian merangkumi beberapa faktor antaranya kecekapan, prestasi, kebolehpercayaan dan keselamatan trak.
"Kami yakin trak-trak Quester baharu kami akan beroperasi dengan kecekapan dan produktiviti maksimum, sekali gus dapat membantu kami mencapai matlamat operasi melalui penggunaan bahan api dan kos yang lebih rendah," katanya dalam satu kenyataan.
Penyerahan trak Quester itu dibuat dalam satu acara di ibu pejabat Sunmax di Lukut, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Pengurus Besar Kanan TCIE, Loh Thim Choy berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada Sunmax sebagai pelanggan baharu dan komited untuk memberi sokongan yang diperlukan.
"Quester bukan sahaja satu rangkaian model trak tugas berat yang teguh, tetapi juga fleksibel dan sesuai untuk pelbagai aplikasi dan segmen-segmen industri.
"Trak ini dibina untuk memberikan prestasi yang kukuh, masa operasi yang hebat, kecekapan bahan api dan ciri-ciri keselamatan. Kami amat yakin, Sunmax akan dapat menikmati semua kelebihan-kelebihan yang ditawarkan oleh Quester," ujarnya.
Tambah beliau, UD Connected Services adalah sistem yang boleh membantu Sunmax memaksimumkan keuntungan perniagaan melalui pengurusan armada yang cekap.
Ia membekalkan pelanggan-pelanggan kami maklumat kritikal tentang penggunaan bahan api di mana ia boleh digunakan untuk menganalisis tingkah laku pemanduan, serta boleh menjejaki lokasi trak dengan tepat.
"Ciri-ciri ini membolehkan pelanggan kami membuat perancangan berkesan dan mengambil tindakan untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan kos, meningkatkan masa operasi kenderaan, mengurangkan perhentian tidak dirancang dan kos operasi yang tidak diperlukan," jelasnya. - DagangNews.com








