KUALA LUMPUR 13 Mac - Pengeluar bahan kimia khusus minyak dan gas (O&G), SumiSaujana Group Bhd merancang mengumpul RM74.4 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
IPO itu melibatkan penjualan 310 juta saham baharu pada harga 24 sen setiap satu.
Sebanyak 54% atau RM40.2 juta daripada wang yang dikumpul akan digunakan untuk membeli dan menyatukan kemudahan operasi syarikat, termasuk gudang dan pejabat baharu di Puncak Alam.
Wang selebihnya akan digunakan untuk membeli kilang sedia ada dengan peruntukan RM18.9 juta, mengembangkan unit penyelidikan dan pembangunan (RM7.6 juta), perbelanjaan modal (RM2.1 juta) dan kos berkaitan penyenaraian (RM5.6 juta).
Syarikat juga akan menawarkan penjualan sehingga 90 juta saham kepada pelabur Bumiputera, yang mewakili 6.23% daripada jumlah saham yang diperbesarkan.
Permohonan untuk IPO dibuka hari ini dan akan ditutup pada 25 Mac 2025, dengan penyenaraian dijadualkan pada 9 April 2025.
Berdasarkan harga IPO tersebut, syarikat dianggarkan bernilai RM346.5 juta.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana, Norazlam Norbi berkata, IPO berkenaan adalah satu pencapaian penting bagi syarikat dan akan membantu mereka berkembang dengan lebih cepat sambil terus menekankan aspek kelestarian dan inovasi.
"Syarikat juga berhasrat memperluaskan pasaran tempatan selain pasaran antarabangsa dan merancang untuk membuka kemudahan pengeluaran di Amerika Utara dan Asia Barat untuk meningkatkan lagi pertumbuhan.
"Sejak penubuhan kami, syarikat terus mengembangkan keupayaan dan mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia rumusan yang dipercayai dalam industri minyak dan gas," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan RHB Investment Bank Berhad, Kevin Davies pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan SumiSaujana Berhad dalam pencapaian penting syarikat berkenaan.
"IPO ini menandakan permulaan fasa pengembangan dan peluang baharu bagi SumiSaujana, meletakkannya dalam kedudukan yang tepat untuk terus berkembang dalam industri minyak dan gas," ujarnya.
RHB Investment Bank ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk IPO berkenaan.
Ditubuhkan pada 2010, SumiSaujana membina reputasi sebagai pengeluar dan pembekal bahan kimia khusus berprestasi tinggi yang dipercayai untuk industri minyak dan gas.
Kumpulan mengkhusus dalam penggerudian bahan kimia cecair, bahan kimia pengeluaran dan bahan kimia penapisan, yang penting dalam meningkatkan kecekapan operasi, perlindungan peralatan dan pengoptimuman proses merentas sektor minyak dan gas huluan, pertengahan dan hiliran.
Selama bertahun-tahun, SumiSaujana memperoleh perkongsian jangka panjang dengan penyedia perkhidmatan lapangan minyak multinasional, syarikat minyak antarabangsa dan syarikat minyak nasional, mengukuhkan kehadiran pasarannya.
Lebih 70% daripada hasil SumiSaujana datang daripada pasaran antarabangsa, termasuk Asia Pasifik, Asia Barat, Afrika, Eropah dan rantau Amerika.
Selain daripada produk utama dalam bahan kimia untuk industri minyak dan gas, SumiSaujana juga sedang mengembangkan produk bahan kimia industri lain untuk menambah sumber pendapatan. - DagangNews.com








