KUALA LUMPUR 17 Jun – Yayasan UEM menyumbang RM2 juta bagi Program Bantuan Perubatan tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan mencecah RM13.9 juta sejak 2014.
Program yang memasuki tahun ke-12 itu telah memberi manfaat kepada lebih 1,600 pesakit kurang berkemampuan di seluruh negara, dengan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) di bawah Kementerian Kesihatan menyertai sebagai rakan strategik keempat.
Tiga rakan strategik sedia ada ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UEM, Aishah Nor, pihaknya komited menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti khususnya kepada golongan kurang berkemampuan dalam keadaan kos perubatan yang semakin meningkat.
"Meskipun kita melihat kemajuan dalam bidang perubatan, namun hakikatnya masih wujud jurang dalam akses kepada penjagaan kesihatan di Malaysia, yang diperburukkan lagi oleh pandemik COVID-19 yang lalu.

"Kami percaya setiap individu berhak mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan perubatan.
"Harapan kami semoga ia dapat membawa perubahan bermakna dalam kehidupan mereka yang amat memerlukan," katanya dalam satu kenyataan.
Setiap hospital menerima sumbangan RM500,000 daripada Yayasan UEM bagi mendapatkan kelengkapan perubatan penting seperti perentak jantung, peralatan pernafasan, ubat-ubatan, serta menampung kos rawatan termasuk kemoterapi dan pembedahan kritikal untuk pesakit kurang berkemampuan.
Bagi HRC, sumbangan itu akan digunakan untuk memperoleh peralatan Transcranial Magnetic Stimulation (TMS) bagi rawatan rehabilitasi neurologi serta menampung kos rehabilitasi pesakit ke arah pemulihan dan kesihatan jangka panjang.- DagangNews.com








