Sukuk hijau, takaful dan kewangan Islam jadi pemangkin utama ketahanan iklim - Timbalan Gabenor BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sukuk hijau, takaful dan kewangan Islam jadi pemangkin utama ketahanan iklim - Timbalan Gabenor BNM

Gambar NASA Science
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Jan – Kewangan Islam berpotensi menjadi pemangkin utama bagi ketahanan iklim global, terutama di negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), menurut Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

 

Beliau berkata banyak negara OIC terdedah kepada risiko iklim, namun mempunyai kapasiti adaptasi yang rendah.

 

“Pelaburan untuk melaksanakan strategi rendah karbon dijangka antara 1.4 hingga lebih 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negara berpendapatan rendah, jauh melebihi kemampuan sumber awam semata-mata. 

 

“Ini menekankan keperluan untuk menggerakkan modal swasta melalui instrumen Kewangan Islam secara efektif dan pantas,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama semasa pelancaran laporan bersama Bank Dunia dan Bank Pembangunan Islam mengenai Kewangan Islam dan Agenda Iklim bertajuk “Bridging the Divide – Islamic Finance as a Catalyst for Global Climate Resilience” di Sasana Kijang hari ini.

 

Selain itu, beliau menekankan bahawa pembangunan teknologi bersih dan inovasi hijau di negara OIC masih sangat rendah. 

 

“Antara 2017 hingga 2024, hanya 3 peratus syarikat yang memperoleh modal teroka (venture capital) untuk teknologi bersih datang dari OIC, mewakili 0.5 peratus daripada pelaburan global. 

 

“Kewangan Islam boleh memainkan peranan penting dalam memupuk ekosistem inovasi, termasuk dalam tenaga boleh diperbaharui, pembuatan hijau, pertanian pintar iklim, dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi,” tambahnya.

 

Beliau turut menyeru penggunaan takaful sebagai mekanisme pemindahan risiko bagi menggalakkan pelaburan berdaya tahan iklim.

 

Namun, ramai pengendali takaful kini kekurangan kepakaran teknikal, kapasiti aktuari, dan infrastruktur data untuk mereka bentuk produk berkaitan iklim, seperti perlindungan parametrik untuk kemarau, banjir, dan cuaca ekstrem.

 

Beliau berkata Malaysia telah lama berada di hadapan dalam menggerakkan Kewangan Islam untuk agenda iklim. 

 

“Negara ini memperkenalkan sukuk hijau pertama di dunia pada 2017 dan kini merupakan penerbit terbesar dalam rantau OIC dengan lebih 47 sukuk hijau dan lestari bernilai USD13.4 bilion. 

 

“Sejak pelaksanaan inisiatif perantaraan berasaskan nilai (VBI), lebih AS$11 bilion telah disalurkan melalui 18 komuniti pengamal VBI bagi membiayai projek hijau.

 

“Antara inisiatif terbaru yang diperkenalkan termasuk i-CITA, yang membolehkan bank Islam memulakan kontrak perkongsian risiko dengan sokongan Dana i-CITA RM100 juta daripada kerajaan. 

 

“Program ini mengurangkan risiko awal bank dalam menyokong projek iklim dan keselamatan makanan,” katanya.

 

Bank Pembangunan Malaysia juga telah memulakan Makmal Inovasi Kewangan Iklim (CFIL) untuk membangunkan struktur pembiayaan inovatif dan menggalakkan penyertaan modal awam dan swasta.

 

Beliau turut menekankan kepentingan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang membentuk 97 peratus daripada perniagaan di Malaysia. 

 

“Program seperti Greening Value Chain, Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (LCTF), dan perniagaan berkonsepkan green halal disasarkan untuk membantu PKS mematuhi standard ESG dan iklim serta meningkatkan kapasiti mereka.

 

“Sejak program Greening Value Chain dilaksanakan, 2,890 PKS telah menghadiri latihan teknikal dan lebih 250 syarikat telah mengukur serta melaporkan pelepasan gas rumah hijau mereka.

 

“Dalam sektor pertanian, Malaysia memperkenalkan Skim Takaful Padi, perlindungan takaful patuh Shariah pertama untuk petani padi bagi mengurangkan kerugian akibat bencana alam,” tambahnya.

 

Sehingga Mac 2025, sebanyak RM16.2 juta telah diluluskan sebagai pampasan untuk 6,319 petani yang terjejas.

 

Adnan menekankan bahawa Kewangan Islam kini bukan hanya berkait soal pematuhan Syariah, tetapi juga boleh menjadi alat untuk menyokong pembangunan lestari, ketahanan iklim, dan kesejahteraan masyarakat. 

 

“Malaysia berhasrat menjadi peneraju dalam inovasi kewangan hijau dan memberikan contoh yang boleh diikuti negara OIC lain. 

 

“Kerjasama dengan Bank Dunia dan Bank Pembangunan Islam dilihat sebagai penting untuk memperkukuh agenda iklim global.

 

“Walaupun langkah kecil, sama ada projek perintis, prototaip atau penyelesaian pertama seumpamanya, boleh menjadi percikan yang mengubah keadaan. Kita mesti berani mencuba, belajar daripada percubaan awal, dan mengembangkan apa yang berkesan,” katanya. - DagangNews.com