Perancangan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) untuk memulakan proses penilaian perolehan pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA) menjelang tahun 2030 menandakan satu fasa baharu dalam pembangunan keupayaan kuasa udara negara.
Langkah ini dibuat selaras dengan jangkaan penamatan perkhidmatan pesawat F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM menjelang tahun 2035.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa Malaysia perlu mula menilai platform pengganti lebih awal bagi memastikan kesiapsiagaan TUDM tidak terjejas.
Ini bermakna tempoh kira-kira 3 tahun dari sekarang amat penting untuk MINDEF melakukan kajian menyeluruh terhadap pesawat generasi baharu yang sesuai dengan keperluan strategik negara.


Keputusan ini juga menunjukkan kerajaan mengambil pendekatan lebih berhati-hati dan realistik dalam merancang pembangunan aset pertahanan jangka panjang.
Dalam konteks semasa, TUDM sedang melalui proses transformasi secara berperingkat-peringkat.
Kemasukan 18 pesawat tempur ringan FA-50M yang dibeli daripada Korea Aerospace Industries (KAI) bernilai RM4.08 bilion merupakan antara langkah awal memperkukuhkan armada udara negara.
Perolehan FA-50M dibuat bagi menggantikan pesawat Hawk yang semakin berusia dan berasaskan teknologi lama.
Pesawat FA-50M bukan sahaja berfungsi sebagai pesawat latihan lanjutan dan tempur ringan, malah turut menjadi pelengkap kepada armada F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM sedia ada.


Kehadiran FA-50 secara berperingkat-peringkat bermula Oktober tahun ini memberi ruang kepada TUDM mengekalkan kesiapsiagaan operasi sementara menunggu keputusan perolehan MRCA baharu.
Namun begitu, cabaran sebenar Malaysia selepas tahun 2035 ialah menentukan sama ada negara mahu terus menggunakan platform generasi 4.5 atau mula beralih kepada pesawat generasi ke-5.
Perubahan landskap keselamatan serantau menjadikan keupayaan halimunan, peperangan elektronik dan peperangan berpusatkan rangkaian sebagai elemen semakin penting.
Kuasa udara moden kini tidak lagi bergantung kepada kelajuan semata-mata tetapi turut menekankan dominasi maklumat dan keupayaan mengelak pengesanan radar.
Atas faktor itu, beberapa platform moden mula disebut sebagai calon berpotensi untuk TUDM.


Antara yang mendapat perhatian ialah Sukhoi Su-57E dari Rusia, KF-21 Boramae dari Korea Selatan dan KAAN keluaran Turkiye.
Setiap platform mempunyai kekuatan tersendiri serta membawa implikasi strategik berbeza kepada Malaysia.
Sukhoi Su-57E misalnya menawarkan kelebihan pesawat generasi ke-5 dengan kemampuan stealth, radar AESA dan supermaneuverability melalui teknologi thrust vectoring.
Pesawat itu juga mampu membawa peluru berpandu jarak jauh dalam ruang dalaman senjata selain memiliki keupayaan supercruise.
Menariknya, Su-57E turut mempunyai keserasian tertentu dengan armada Su-30MKM milik TUDM dari sudut operasi dan logistik.


Faktor ini boleh membantu mengurangkan kos latihan dan penyelenggaraan sekiranya Malaysia memilih platform dari Rusia sekali lagi.
Rusia sendiri dilihat agresif mempromosikan Su-57E kepada Malaysia ketika pameran LIMA 2025 dan DSA 2026.
Lawatan kerja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Rusia baru-baru ini turut membuka ruang kepada Malaysia melihat sendiri perkembangan teknologi pertahanan negara itu.
Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada Malaysia menilai kemampuan sebenar teknologi ketenteraan moden yang mungkin relevan untuk masa depan TUDM.

Bagaimana pun, pemilihan MRCA baharu tidak boleh dibuat berdasarkan keupayaan teknikal semata-mata.
Malaysia juga perlu mengambil kira aspek geopolitik, hubungan antarabangsa dan kemampuan kewangan negara.
Konflik Rusia-Ukraine misalnya memberi kesan besar terhadap rantaian bekalan serta sokongan logistik aset pertahanan Rusia di pasaran global.
Pada masa sama, platform seperti KF-21 Boramae dan KAAN pula menawarkan peluang kerjasama industri pertahanan serta pemindahan teknologi yang lebih luas.
Malah minat Sepanyol terhadap pesawat stealth KAAN selepas meninggalkan program F-35 turut menunjukkan Turkiye kini semakin serius muncul sebagai pemain baharu industri aeroangkasa pertahanan dunia.


Walaupun begitu, Malaysia tidak boleh terlalu tergesa-gesa membuat keputusan kerana TUDM masih mempunyai pelbagai keperluan kritikal lain.
Antaranya termasuk pesawat amaran awal dan kawalan udara (AEW&C), sistem pertahanan udara jarak sederhana, UAV MALE dan aset rondaan maritim.
Hakikatnya, masa depan kekuatan udara Malaysia bukan sekadar bergantung kepada pesawat tempur tercanggih, tetapi bagaimana semua aset pertahanan itu dapat digabungkan dalam satu ekosistem peperangan moden yang seimbang. - DagangNews.com








