Strategi pembelian tanah agresif, CGS International percaya Mah Sing berpotensi catat perkembangan jualan hartanah antara FY24-FY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Strategi pembelian tanah agresif, CGS International percaya Mah Sing berpotensi catat perkembangan jualan hartanah antara FY24-FY26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - Mah Sing Group Bhd berada di landasan tepat untuk mencatatkan jualan hartanah yang kukuh bagi tahun kewangannya 2024 (FY24) hingga FY26, disokong strategi pembelian tanah yang agresif.

 

CGS International Research berkata, pemaju hartanah itu mengumumkan enam pengambilan tanah secara kolektif bernilai RM650.7 juta pada 2024, dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.8 bilion.

 

“Ia seharusnya meningkatkan pertumbuhan jualan FY24 hingga FY27 langkah agresif Mah Sing dalam pasaran.

 

"Sebelum ini, Mah Sing melancarkan projek baharu dalam tempoh antara empat hingga 12 bulan selepas menyelesaikan pengambilan tanah.

 

"Kami juga percaya kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk melepasi sasaran jualan FY24 sebanyak RM2.5 bilion, setelah mengumpul RM1.8 bilion dalam jualan dalam sembilan bulan pertama FY24," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Hab Pusat Data Mah Sing @ Southville City di Dengkil masih berkembang walaupun mengalami halangan baru-baru ini.

 

Katanya, nilai aset bersih yang disemak semula Mah Sing atau penilaian RNAV/saham akan merosot hanya 7% atau 23 sen selepas mengenepikan Hab Pusat Data @ Southville City.

 

Kunci kira-kira kumpulan kekal sihat dengan penggearan bersih 0.22x pada 30 September 2024.

 

CGS International mengekalkan ramalan FY24 hingga FY25 Mah Sing tetapi meningkatkan anggaran pendapatan sesaham teras FY26 sebanyak 2%, mencirikan pendapatan tambahan daripada pelancaran baharu yang akan datang.

 

“Kami menyemak naik penarafan Mah Sing daripada "pegang" kepada "tambah" kerana percaya peluang pelaburan yang menarik muncul selepas pembetulan harga saham baru-baru ini. 

 

"Pendirian positif kami juga disokong pertumbuhan jualan yang berdaya tahan dan kunci kira-kira yang kukuh,” katanya.- DagangNews.com