KUALA LUMPUR 19 Jun - Anak syarikat Straits Energy Resources Bhd, TMD Energy Ltd (TMDEL), memeterai kerjasama dengan Double Corporate Sdn Bhd untuk meneroka peluang dalam rumusan bahan api tenaga bio mampan bagi pasaran Malaysia dan global.
Straits Energy memaklumkan, kedua-dua pihak telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) semalam, bagi membincangkan rangka kerja yang perlu untuk usaha sama yang dirancang.
TMDEL yang disenaraikan di New York Stock Exchange American pada April lalu, terlibat dalam perkhidmatan bahan api marin, pengurusan dan penyewaan kapal.
Double Corporate pula adalah syarikat tempatan milik persendirian yang menjalankan pembuatan dan jual beli minyak asas kitar semula.
"Menerusi perjanjian ini, kedua-dua pihak akan berbincang secara eksklusif tentang struktur, syarat dan kelulusan yang diperlukan untuk kerjasama dari segi teknikal, operasi dan kewangan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Namun Straits Energy berkata, MoA tersebut tidak mengikat mana-mana pihak untuk meneruskan kerjasama kecuali jika perjanjian muktamad ditandatangani.
Perjanjian itu sah selama setahun dari tarikh ia ditandatangani, kecuali dilanjutkan atau ditamatkan lebih awal atas persetujuan bersama atau selepas menandatangani dokumen akhir yang mengikat.
Lembaga pengarah Straits Energy percaya, perjanjian berkenaan sejajar dengan rancangan syarikat untuk berkembang dalam bidang tenaga lestari. - DagangNews.com








