Stellantis labur lebih RM26 juta, mula pasang Leapmotor C10 di Gurun perkukuh hab EV Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Stellantis labur lebih RM26 juta, mula pasang Leapmotor C10 di Gurun perkukuh hab EV Malaysia

CEO Cycle & Carriage Malaysia, Adrian Short (kiri) dan Isaac Yeo pada majlis menandatangani perjanjian pengedaran di Kuala Lumpur.
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Jun - Stellantis Malaysia memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) negara menerusi pelaburan melebihi €5.33 juta (kira-kira RM26 juta) bagi pembangunan operasi pemasangan tempatan dan peningkatan infrastruktur pengeluaran di fasiliti Gurun, Kedah.

 

Pelaburan itu merangkumi €2.23 juta bagi pembangunan pemasangan tempatan kenderaan Leapmotor serta €3.1 juta peruntukan perbelanjaan modal (CAPEX) untuk menaik taraf barisan pengeluaran dan kemudahan pembuatan, sekali gus menjadikan Gurun sebagai antara hab pengeluaran EV strategik Stellantis di rantau ASEAN.

 

Seiring dengan pelaburan tersebut, Stellantis turut mengumumkan permulaan rasmi operasi pemasangan tempatan model Leapmotor C10 di Gurun, yang menjadi model pertama dipasang secara tempatan di bawah kerjasama strategik antara Stellantis dan Leapmotor.

 

Pengeluaran model Leapmotor B10 pula dijadualkan bermula menjelang penghujung 2026, menandakan pengembangan kapasiti pengeluaran EV syarikat di Malaysia dalam tempoh terdekat.

 

Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo berkata, pelaburan berterusan di Gurun mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi Malaysia sebagai hab pembuatan dan eksport EV serantau.

 

“Permulaan operasi pemasangan tempatan Leapmotor di Gurun merupakan pencapaian penting yang meletakkan Malaysia di barisan hadapan pembangunan industri EV ASEAN.

 

“Melalui kerjasama strategik dengan Leapmotor dan pelaburan yang dibuat, kami bukan sahaja mempercepatkan pelan elektrifikasi Stellantis di rantau ini, malah membantu membangunkan ekosistem automotif berteknologi tinggi serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Buat masa ini, pengeluaran di Gurun memberi tumpuan kepada memenuhi permintaan pasaran domestik, namun Stellantis memaklumkan pihaknya sedang menilai peluang untuk menjadikan fasiliti tersebut sebagai pangkalan eksport ke negara-negara ASEAN pada masa hadapan.

 

Dalam usaha membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kakitangan teknikal dan operator pemasangan di Gurun telah menjalani latihan khusus berkaitan teknologi EV dan seni bina perisian kenderaan Leapmotor.

 

Hasil latihan tersebut, tenaga kerja di fasiliti berkenaan kini diperakui untuk mengendalikan sistem kenderaan elektrik voltan tinggi sehingga 800 volt (V), sekali gus meningkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan dalam sektor automotif berasaskan elektrifikasi.

 

Stellantis dan Leapmotor turut melaksanakan rangka kerja global yang menyelaras proses pemasangan serta pematuhan standard kualiti bagi memastikan setiap kenderaan yang dihasilkan memenuhi piawaian antarabangsa.

 

Selepas melalui proses pengesahan yang komprehensif, operasi pemasangan tempatan itu telah menerima kelulusan daripada pasukan penyeliaan global Stellantis serta pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan di Malaysia dan peringkat antarabangsa. - DagangNews.com