KUALA LUMPUR 6 Mac – Steel Hawk Berhad menubuhkan empat anak syarikat milik penuh baharu bagi menyokong pelan pengembangan dan memperkukuhkan operasi perniagaannya pada masa hadapan.
Kumpulan tersebut berkata empat entiti berkenaan ialah Steel Hawk Digital Sdn Bhd, Steel Hawk Infrastructure Sdn Bhd, Steel Hawk Manufacturing Sdn Bhd dan Steel Hawk Utility Sdn Bhd.
Kesemua subsidiari itu diperbadankan pada 6 Mac 2026 di bawah Akta Syarikat 2016 dengan mempunyai modal saham diterbitkan sebanyak RM100 yang terdiri daripada 100 saham biasa setiap satu.
"Steel Hawk Digital menumpukan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), selain rumusan pendigitalan proses," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Selain itu jelas Steel Hawk, anak syarikat berkenaan juga akan memberikan fokus kepada rumusan teknologi dijana kecerdasan buatan (AI) dan sistem operasi jarak jauh secara lebih bersepadu.
Sementara itu tambahnya, Steel Hawk Infrastructure pula akan menyediakan perkhidmatan pengurusan projek, EPCC serta operasi dan penyelenggaraan bagi pelbagai kontrak projek infrastruktur.
Steel Hawk Manufacturing terlibat pembuatan paip dan kelengkapan berasaskan polietilena ketumpatan tinggi bagi sektor elektrik, minyak dan gas (O&G), utiliti, telekomunikasi serta bekalan air.
"Steel Hawk Utility menawarkan perundingan kejuruteraan pelbagai disiplin meliputi geoteknikal, awam, struktur, mekanikal dan elektrikal (M&E) serta teknologi reka bentuk mampan," katanya.
Menurutnya, penubuhan itu dijangka tiada kesan material terhadap modal saham terbitan, pegangan pemegang saham utama, pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan tahap penggearan kumpulan.
Bagaimanapun, ia mengesahkan dua Pengarah Eksekutif Steel Hawk, Datuk Sharman Kristy Michael dan Salimi Khairuddin turut dilantik sebagai pengarah bagi syarikat-syarikat baharu tersebut.
Secara keseluruhan, Lembaga pengarah Steel Hawk berpandangan penubuhan empat anak syarikat itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan kumpulannya. - DagangNews.com








