STB perkukuh promosi Sarawak sebagai ‘Gateway to Borneo’ di Taipei International Travel Fair 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

STB perkukuh promosi Sarawak sebagai ‘Gateway to Borneo’ di Taipei International Travel Fair 2025

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 NovLembaga Pelancongan Sarawak (STB) memperkukuh usaha mempromosikan negeri itu di pasaran antarabangsa menerusi penyertaan dalam Taipei International Travel Fair (ITF) 2025, dengan matlamat menjadikan Sarawak sebagai ‘Gateway to Borneo’ menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026).

 


STB dalam kenyataan hari ini berkata, penyertaan di ITF Taipei 2025 yang berlangsung di Nangang Exhibition Hall 1 merupakan langkah strategik bagi memperluas capaian Sarawak di pasaran Taiwan serta memperkukuh hubungan dagang dan promosi pelancongan dengan pemain industri serantau.

 


Katanya, penglibatan tersebut selaras dengan agenda nasional untuk membina momentum menuju VMY 2026, dengan menonjolkan kekayaan budaya, keindahan alam semula jadi serta pelbagai aktiviti pelancongan berteraskan lima tonggak utama iaitu Budaya, Pengembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan dan Festival (CANFF).

 


“Penyertaan di ITF Taipei memberi peluang penting kepada Sarawak untuk terus membina kehadiran yang kukuh di pasaran antarabangsa, khususnya di Taiwan yang merupakan antara pasaran utama bagi sektor pelancongan negeri ini,” menurut STB dalam kenyataan itu.

 


Pelawat ke pameran berkenaan berpeluang menikmati pelbagai tawaran pelancongan yang mencerminkan keunikan Sarawak, daripada warisan budaya masyarakat asal dan hutan hujan tropika hingga kepada pengalaman gastronomi dan festival yang meriah.

 


Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Haji Salleh Askor berkata, penyertaan kali ini bukan sekadar usaha promosi, tetapi sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk menjenamakan Sarawak sebagai destinasi lestari yang menawarkan pengalaman autentik kepada pelancong.

 


“Taiwan kekal sebagai antara pasaran utama bagi Sarawak di rantau ini. ITF Taipei memberi peluang besar untuk kami berhubung terus dengan rakan industri dan pelancong. Seiring Malaysia menuju Tahun Melawat Malaysia 2026, kami berbangga untuk mempamerkan apa yang menjadikan Sarawak istimewa dari rakyatnya, budayanya, keindahan alamnya serta komitmen terhadap pelancongan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 


Menurutnya lagi, penyertaan STB turut disokong oleh beberapa rakan pelancongan berpangkalan di Taiwan termasuk ComeBest Tour Co. Ltd, China Dragon Travel Service Co. Ltd, Happy Go Travel Co. Ltd dan Nami International Travel Agency Co. Ltd yang turut menawarkan pakej pelancongan Sarawak berasaskan warisan, komuniti dan alam semula jadi.

 


Katanya, kerjasama tersebut mengukuhkan strategi STB untuk bekerjasama dengan ejen serantau bagi menjadikan Sarawak destinasi utama di Borneo untuk pelancongan berasaskan pengalaman dan nilai.

 


Selain ITF Taipei 2025, STB turut menganjurkan Seminar Jaringan Perniagaan bersama Royal Brunei Airlines Taiwan di Taipei dan Hualien awal tahun ini, sebagai sebahagian daripada siri inisiatif promosi berterusan untuk memperkukuh jaringan industri dan menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.

 

Dengan strategi promosi berteraskan kelestarian, penceritaan autentik dan keindahan semula jadi yang tiada tandingan, Sarawak terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi utama pelancongan serantau, sebuah negeri yang sentiasa ada “More to Discover.”  - DagangNews.com