KUALA LUMPUR 9 Okt – Anak syarikat milik penuh Cypark Resources Bhd, iaitu Cypark Renewable Energy Sdn Bhd, berdepan satu tuntutan adjudikasi berjumlah RM2.5 juta berkaitan dengan projek solar di Kelantan.
Tuntutan tersebut telah dikemukakan oleh Solution Group Bhd melalui anak syarikatnya, Solar Solution Sdn Bhd (SSSB), berhubung kontrak yang dianugerahkan pada Ogos 2024 bagi Pakej 1(A).
Pakej tersebut melibatkan kerja-kerja pemasangan pelampung, modul fotovolta (PV), pendawaian DC, kotak penggabung DC serta penyongsang pusat berserta kerja-kerja berkaitan di Tasik Danau Tok Uban, Pasir Mas.
Projek bernilai RM3.14 juta itu pada asalnya dijadualkan siap pada 31 Januari 2025, namun tempoh tersebut telah dilanjutkan sehingga 18 Mac, menurut pemakluman Solution kepada Bursa Malaysia pada Rabu.

Solution memaklumkan, walaupun kerja-kerja telah disiapkan, sejumlah RM2.5 juta masih belum dijelaskan oleh Cypark.
“SSSB telah memulakan proses adjudikasi bagi menuntut semula jumlah tertunggak tersebut, disokong antara lain oleh penyata akaun yang menunjukkan jumlah yang perlu dibayar,” menurut Solution dalam pemakluman itu.
Solution menambah, pada peringkat ini, prosiding adjudikasi tersebut tidak dijangka memberi sebarang kesan kewangan atau operasi yang material terhadap kumpulan itu. - DagangNews.com








