Solarvest peroleh kontrak RM103.08 juta bagi pembinaan kemudahan solar fotovoltaik di Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest peroleh kontrak RM103.08 juta bagi pembinaan kemudahan solar fotovoltaik di Pulau Pinang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mac - Solarvest Holdings Bhd menerusi Atlantic Blue Sdn Bhd memeterai kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dengan SV Flux Sdn Bhd bagi pembinaan kemudahan penjanaan tenaga solar fotovoltaik 29.99MWac di Seberang Perai Selatan, Puala Pinang.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak bernilai RM103.08 juta itu akan bermula selepas menerima notis untuk meneruskan daripada SV Flux dan akan disiapkan pada 31 Julai 2027.

 

Atlantic Blue akan menyediakan bon prestasi bersamaan dengan 5% daripada jumlah kontrak, dan bon jaminan dengan kesahan 24 bulan selepas tarikh operasi komersial yang dijadualkan bersamaan dengan 2.5% daripada jumlah kontrak.

 

"Penerimaan kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham Solarvest dan anak syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, dan seterusnya sehingga projek itu siap," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu tidak meramalkan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan kontrak EPCC.

 

Bagaimanapun, kumpulan akan mengambil langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko apabila ia berlaku - DagangNews.com