Solarvest-Brookfield meterai Perjanjian Rangka Kerja Pelaburan Bersama bangunkan projek tenaga boleh diperbaharui 1,500 MWp | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest-Brookfield meterai Perjanjian Rangka Kerja Pelaburan Bersama bangunkan projek tenaga boleh diperbaharui 1,500 MWp

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Sept – Solarvest Holdings Bhd mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui (RE) tempatan apabila hari ini menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Pelaburan Bersama dengan Brookfield CTF Asia Holdings Pte. Ltd. (Brookfield) bagi membangunkan projek tenaga berskala besar dengan jumlah kapasiti sekurang-kurangnya 1,500 megawatt peak (MWp).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, projek-projek di bawah kerjasama ini dijangka membabitkan pelaksanaan loji tenaga solar fotovoltaik (PV), sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan projek hibrid solar-BESS.

 

Semua projek tersebut merupakan sebahagian daripada program-program RE utama di Semenanjung Malaysia seperti Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS), Large Scale Solar (LSS), Battery Energy Storage System (MyBeST) dan Self-Consumption Scheme (SELCO).

 

Di bawah kerjasama ini, Solarvest dan Brookfield akan menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) bagi setiap projek, dengan peranan dan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

 

"Solarvest bertanggungjawab mengenal pasti projek yang berpotensi dan melaksanakan pembangunan menyeluruh manakala Brookfield akan menyokong aspek pembiayaan, perolehan, dan memanfaatkan rangkaian globalnya untuk mendapatkan pelanggan korporat (offtakers).

 

“Gabungan kepakaran tempatan Solarvest dengan kekuatan modal dan akses pasaran global Brookfield meletakkan kerjasama ini dalam posisi strategik untuk menerajui pembangunan RE di Malaysia dan rantau ini,” kata syarikat itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: SST sekat pertumbuhan tenaga hijau, Solarvest desak pengecualian dalam Belanjawan 2026

 

Menurut Solarvest, sebarang pembiayaan bagi projek yang diluluskan akan diperoleh menerusi gabungan pinjaman daripada pemberi dana luar, terbitan sukuk atau bon, serta suntikan ekuiti daripada kedua-dua pihak mengikut struktur yang dipersetujui.

 

Lebih signifikan, kata kenyataan itu Solarvest dijangka menerima hak keutamaan sebagai kontraktor EPCC bagi projek-projek di bawah kerjasama ini, yang berpotensi meningkatkan ketara buku pesanan EPCC syarikat dalam tempoh sederhana.

 

Brookfield merupakan firma pengurusan aset alternatif terkemuka global yang berpangkalan di Kanada, dengan lebih AS$1 trilion (RM4.7 trilion) aset di bawah pengurusan, termasuk dalam tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur dan hartanah.

 

Langkah Brookfield menembusi pasaran Malaysia melalui kerjasama strategik ini dilihat sebagai pemangkin keyakinan pelabur asing terhadap dasar RE Malaysia, terutamanya menjelang pelaksanaan program LSS6 dan penguatkuasaan sistem penyimpanan tenaga mandatori mulai 2026.

 

Syarikat itu berkata, buat masa ini, kerjasama ini tidak dijangka memberi kesan material terhadap kewangan Solarvest bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.

 

Namun begitu, pihak pengurusan optimis kolaborasi ini akan menjana impak positif terhadap pendapatan dan aset bersih konsolidasi syarikat dalam jangka panjang, seiring dengan pengembangan portfolio projek dan pendapatan berulang daripada aset RE yang dimiliki bersama.

 

Dalam lanskap RE yang semakin kompetitif dan didorong dasar kerajaan, kerjasama Solarvest-Brookfield boleh dianggap sebagai titik perubahan utama (game-changer) bagi industri tenaga boleh diperbaharui tempatan.

 

Susulan pengumuman ini dagangan sekuriti Solarvest digantung mulai jam 9 pagi ini dengan dagangan waran berstruktur berkaitan Solarvest turut digantung pada masa sama.

 

Saham syarikat tenaga bersih itu ditutup naik satu sen kepada RM2.72, sekali gus meneruskan kenaikan setahun ke tarikh (YTD) sebanyak 60%. - DagangNews.com