KUALA LUMPUR 22 Sept – Solarvest Holdings Berhad menyeru kerajaan mengecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas projek tenaga solar dalam pembentangan Belanjawan 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Davis Chong berkata, langkah itu dilihat sebagai perubahan penting untuk mempercepatkan pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui (RE) negara ini.
Beliau menyatakan, langkah pengecualian SST itu kepada sektor tenaga hijau pada ketika ini turut menjadi keutamaan paling utama bagi keseluruhan pemain industri solar di seluruh Malaysia sendiri.
“Perkara nombor satu dalam senarai harapan kami dan semua pemaju solar, ialah pengecualian SST. Ini paling kritikal terutama projek berskala utiliti yang tidak boleh serap caj 6%,” katanya.
Menurut Chong, meskipun kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Tarif Elektrik Hijau, dan penambahbaikan Skim Meter Tenaga Bersih, namun pengecualian SST kekal isu paling mendesak.
Beliau turut memaklumkan pihaknya kini sedang berunding dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) serta Kementerian Kewangan (MOF) untuk mencari penyelesaian terbaik.
Artikel berkaitan: Solarvest, Brookfield meterai Perjanjian Rangka Kerja Pelaburan Bersama bangunkan projek tenaga boleh diperbaharui 1,500 MWp
“Kami yakin pengecualian akan diberikan, tetapi setakat ini masih belum ada pengumuman rasmi. Kerajaan perlu sedar pengecualian ini penting untuk kesinambungan pertumbuhan industri,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Solarvest, Liew Kong Fatt menjelaskan, walaupun SST akan dikenakan kerajaan, kesannya tidak akan menjejaskan kedudukan kewangan syarikat secara langsung.
Industri itu menjangkakan pengecualian SST akan menjadi pemangkin utama kepada pelaburan baharu dalam kerangka peralihan tenaga bersih, terutama menjelang pelaksanaan projek berskala besar.
“Kami diberi tempoh sehingga Julai 2026 untuk melaksanakan kontrak sedia ada, dan masih boleh memohon pengecualian. Tetapi akhirnya, cukai ini perlu dipindahkan kepada pelanggan,” jelasnya.
Solarvest, sebagai antara pemain utama sektor ini, percaya kerjasama antara industri dan kerajaan adalah kunci hala tuju negara ke arah neutral karbon tidak terjejas oleh tekanan kos. - DagangNews.com








