KUALA LUMPUR 19 Mei — SME Corp Malaysia mengumumkan pelantikan rasmi Datuk Teng Chang Khim sebagai Pengerusi yang baharu untuk agensi tersebut berkuat kuasa 18 Mei 2026.
Pelantikan tersebut dibuat oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, untuk menggantikan penyandang sebelum ini, Tan Sri Benard Giluk Dompok.
Kata agensi itu, Chang Khim, 62, membawa pengalaman luas dalam bidang pelaburan, industri, ekonomi digital serta pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Beliau ialah graduan Undang-undang University of London serta pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Universiti Perdana," kata SME Corp Malaysia.
Sebelum ini, beliau yang dilahirkan di Batu Pahat, Johor itu, pernah berkhidmat sebagai anggota Lembaga Pengarah dalam beberapa agensi di bawah kerajaan Selangor.
Antaranya ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), selain Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC) dan Invest Selangor Berhad.
Bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Selangor itu juga berpengalaman luas dalam pembangunan PMKS ketika memegang portfolio EXCO Selangor antara 2014 hingga 2023.
"Selain itu, beliau turut pernah mempengerusikan Majlis Informasi dan Ekonomi Digital Selangor serta Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS)," kata SME Corp Malaysia.
Agensi tersebut berkata, pelantikan ini diyakini dapat memperkukuh agenda memperkasa PMKS negara khususnya usaha penskalaan perusahaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pada masa sama, agensi itu merakamkan penghargaan kepada bekas pengerusinya atas sumbangan dan kepimpinan sepanjang menerajui SME Corp Malaysia sejak April 2023. - DagangNews.com
SME Corp Malaysia lantik Teng Chang Khim sebagai Pengerusi, gantikan Bernard Giluk Dompok

TENG CHANG KHIM
Oleh AMREE AHMAD







