KUALA LUMPUR 6 Mac – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), anak syarikat Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) mengumumkan pelantikan Zulkiflee Hashim sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa 6 Mac 2026.
Zulkiflee mula menyertai SME Bank sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif pada 6 Mac 2019 dan telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh tadbir urus serta memberikan pandangan strategik untuk menyokong peranan pembangunan SME Bank.
Beliau mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam industri perbankan, pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan di Citibank Malaysia, Deutsche Bank Malaysia, dan Hong Leong Bank Berhad.
Dari Julai 1998 hingga Oktober 2011, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif di Hong Leong Bank Berhad dan sebelum bersara pada 2015, beliau adalah Ketua Pegawai Operasi, Sokongan Strategik Kumpulan.
Zulkiflee kini berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di Hong Leong MSIG Takaful Berhad dan Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Bhd.
Beliau juga pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah GuocoLand (Malaysia) Berhad dan Hong Leong Bank Berhad.
Menurut SME Bank, pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan bank terhadap kepimpinan dan tadbir urus yang mantap.
“Pengalaman luas Zulkiflee dijangka dapat membimbing keutamaan strategik SME Bank dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan,” kata bank tersebut.
Sejak ditubuhkan pada 2005, SME Bank berperanan sebagai institusi kewangan pembangunan terkemuka yang memacu pertumbuhan sektor PKS negara. Selain menyediakan pembiayaan, bank ini melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi selari dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030, termasuk mempercepatkan transformasi digital dan penerapan teknologi Revolusi Industri 4.0. - DagangNews.com








