SME Bank lancar skim pembiayaan Vanigham RM50 juta untuk PMKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SME Bank lancar skim pembiayaan Vanigham RM50 juta untuk PMKS

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Mac - Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) melancarkan Skim Pembiayaan Vanigham (VFS), sebuah kemudahan pembiayaan baharu dengan peruntukan dana berjumlah RM50 juta yang dikhususkan untuk memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.

 

Pengenalan VFS itu selaras dengan strategi SME Bank untuk meningkatkan keterangkuman kewangan serta memastikan semua kumpulan usahawan mendapat peluang yang sama untuk mengembangkan perniagaan mereka. 

 

Skim pembiayaan tersebut akan memberikan sokongan kewangan yang diperlukan bagi pemerolehan aset, kenderaan komersial dan modal kerja, yang membolehkan usahawan mengembangkan perniagaan mereka, memperluaskan pasaran dan meningkatkan daya saing.

 

VFS ialah skim pembiayaan RM50 juta yang menawarkan pembiayaan dari RM100,000 hingga RM300,000 bagi pembelian mesin, kenderaan komersial dan modal kerja dengan subsidi kadar keuntungan daripada kerajaan. 

 

Permohonan untuk VFS dibuka sehingga 31 Disember 2027, memberi peluang kepada usahawan untuk berkembang dan memperluas perniagaan mereka.

 

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, pihaknya menyedari kepentingan memastikan semua usahawan PMKS mendapat sokongan pembiayaan yang mencukupi bagi memajukan perniagaan mereka. 

 

"Oleh itu, pelaksanaan VFS adalah bukti peranan kami dalam menyediakan pembiayaan yang disesuaikan kepada kumpulan sasaran tertentu seterusnya mengiktiraf usahawan kecil sebagai penyumbang utama yang melengkapi ekosistem PMKS secara keseluruhan serta antara tunjang utama dalam menggerakkan ekonomi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelancaran VFS disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SME Bank, Datuk Muslim Hussain dan Dr. Mohammad Hardee.

 

VFS bukan sahaja menyediakan pembiayaan secara langsung, tetapi juga melengkapkan inisiatif utama yang diterajui kerajaan di bawah Belanjawan 2025 kerana ia sejajar dengan program utama SME Bank seperti Program Jaguh Serantau dan Program Pembiayaan HalalBiz.

 

Dalam meneruskan peranan SME Bank sebagai pemacu pembangunan usahawan, SME Bank terus diberi kepercayaan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2025 dengan lebih RM1 bilion untuk program baharu dan sedia ada, memberi tumpuan kepada keterangkuman kewangan untuk PMKS dalam sektor strategik utama seperti Bumiputera, teknologi, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), halal dan pelancongan. - DagangNews.com