KUALA LUMPUR 1 Julai – Pereka semikonduktor SkyeChip kini berada di peringkat akhir menuju tawaran awam permulaan (IPO), selepas mencatatkan pertumbuhan pendapatan dan keuntungan bersih yang konsisten sejak beberapa tahun lalu.
Menurut laporan Bloomberg, syarikat menyasarkan penilaian melebihi RM1 bilion menerusi IPO yang dirancang, meskipun butiran berkaitan penyenaraian tersebut belum diumumkan secara rasmi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fong Swee Kiang berkata, syarikat yang ditubuhkan pada 2019 itu mencatat pertumbuhan pendapatan tahunan sekitar 30% dengan margin keuntungan bersih turut berada pada paras 30%.
"Kami berada di landasan tepat untuk terus mencatat keuntungan," katanya dalam satu temu bual di luar persidangan pelaburan di Kuala Lumpur.
Beliau turut memaklumkan semua pelanggan SkyeChip sekarang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Swee Kiang yang juga bekas eksekutif Silicon Valley, menubuhkan SkyeChip untuk meningkatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Syarikat yang disokong Gobi Partners itu fokus kepada penghasilan cip khusus yang melengkapi produk syarikat seperti Nvidia Corp.
Mengulas mengenai kemungkinan kesan tarif baharu oleh AS terhadap produk Malaysia, beliau yakin perniagaan syarikat tidak akan terjejas selagi kadar duti yang dikenakan kekal lebih rendah berbanding negara lain.
Malahan, Arm Holdings plc bersetuju untuk membekalkan reka bentuk dan teknologi cip kepada Malaysia bagi meningkatkan tahap kemajuan industri semikonduktor negara.- DagangNews.com








