SHAH ALAM 7 Nov - Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan keusahawanan dan kejayaannya membina empayar perniagaan sendiri.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, pelantikan Siti Nurhaliza, 46, bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa dari 15 Oktober 2025 hingga 15 Oktober 2027, merupakan satu daripada inisiatif UiTM untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan universiti.
Beliau berkata, pelantikan itu juga mencerminkan pengiktirafan UiTM terhadap sumbangan besar penyanyi kelahiran Temerloh itu, bukan sahaja sebagai ikon nasional tetapi juga sebagai usahawan wanita yang berdaya saing.
“Kejayaannya dalam menunjukkan kreativiti, integriti dan inovasi dalam perniagaan sambil mengangkat jenama tempatan ke peringkat antarabangsa telah memberi inspirasi kepada ribuan usahawan muda dan pelajar di seluruh negara,” katanya dalam ucapan semasa majlis penyampaian surat pelantikan Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan di Bangunan Tuanku Canselori Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam, pada Khamis.


Terdahulu, Siti Nurhaliza menerima surat pelantikannya daripada Prof Dr Shahrin, disaksikan oleh Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Prof Dr Shafinar Ismail.
Prof Dr Shahrin berkata, UiTM berasa amat berbesar hati menyambut kehadiran Siti Nurhaliza sebagai sebahagian daripada keluarga besarnya, sambil menambah bahawa pelantikan ini bukan sahaja mengiktiraf kejayaan beliau dalam industri kreatif dan keusahawanan, tetapi juga menandakan permulaan baharu dalam kerjasama antara akademia dan industri.
“Pelantikan ini memperkukuh ekosistem keusahawanan UiTM dan memberi peluang kepada pelajar untuk belajar secara langsung daripada individu yang telah membina empayar perniagaan berteraskan nilai, kejujuran dan ketabahan,” katanya.


Sementara itu, Siti Nurhaliza menyatakan rasa syukur dan penghargaan kepada UiTM atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Bagi saya, keusahawanan bukan sekadar keuntungan, tetapi tentang nilai, kejujuran dan tanggungjawab sosial. Saya berharap dapat berkongsi pengalaman sebenar dalam dunia perniagaan agar para pelajar memahami bahawa kejayaan datang daripada kerja keras, keazaman dan keikhlasan,” katanya.
Siti Nurhaliza akan memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar dan ahli akademik melalui perkongsian pengalaman keusahawanan sebenar, termasuk sesi kelas induk, forum keusahawanan dan bimbingan industri.
Beliau juga akan membantu memperkukuh hubungan strategik antara UiTM dan industri kreatif serta membuka peluang kolaborasi rentas sektor dalam pengkomersialan idea dan inovasi pelajar. - Bernama








