KUALA LUMPUR 28 Feb - Sime Motors memperkenalkan pusat jualan kenderaan elektrik terpakai (EV) pertama di Malaysia untuk semua jenama kereta di negara ini.
Dikenali sebagai EV Next, kemudahan itu akan menjadi pusat sehenti penjualan kenderaan EV terpakai dan sokongan selepas jualan.
Sime Motors berkata, pusat jualan tersebut dilengkapi teknologi dan peralatan terkini serta juruteknik yang diperakui, bagi memastikan kenderaan EV termasuk baterinya, berada dalam keadaan baik.
Melengkapkan EV Next adalah Drivecare, rangkaian selepas jualan bebas di bawah Sime Motors.
Portfolio EV Next menawarkan pelbagai pilihan jenama EV termasuk BYD, BMW, MINI, Hyundai, Jaguar, Porsche dan Volvo.
Pengarah Urusan Sime Motors untuk Asia Tenggara, Jeffrey Gan berkata, syarikat itu melihat permintaan yang tinggi terhadap EV terpakai yang diselenggara dengan baik di pasaran.
"Kami yakin dapat menyediakan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan kami. Perkhidmatan menyeluruh dari awal hingga akhir akan memudahkan pelanggan.
"Kami mahu membina kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap perkidmatan kami," katanya seperti laporan The Star.
Sementara itu, Pegarah Urusan Sime Motors, Andrew Basham berkata, EV Next direka untuk memenuhi gaya hidup yang pelbagai.
"Permintaan tinggi terhadap EV menunjukkan pertumbuhan yang stabil di Malaysia, mencerminkan populariti pengangkutan lestari.
"Komitmen kami yang tidak berbelah bagi untuk mendorong kemajuan ke arah masa depan yang lebih hijau, memastikan kami dapat menyediakan produk dan rumusan terbaik kepada pelanggan kami di seluruh rantau ini," jelasnya.
Pelanggan yang ingin menukar atau membeli kenderaan EV terpakai boleh melawat bilik pameran EV Next di Glenmarie, Chan Sow Lin dan TREC Kuala Lumpur.
EV Next juga sedang mengembangkan cawangannya ke seluruh negara, dengan lokasi baharu di Pulau Pinang, Tebrau dan Johor Bahru.
Sime Motors adalah satu daripada perniagaan teras Sime Group, mewakili pelbagai jenama dari jenama mewah seperti BMW, Rolls-Royce, Jaguar, Land Rover dan Porsche sehinggalah Ford, Hyundai dan BYD, serta kenderaan komersial.
Sime Motors beroperasi di 10 negara iaitu Malaysia, Singapura, China, Hong Kong, Macau, Taiwan, Australia, New Zealand, Thailand dan Indonesia. - DagangNews.com








