Sime Darby Properties sasarkan jualan RM3.6 bilion bagi FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby Properties sasarkan jualan RM3.6 bilion bagi FY25

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Mac - Sime Darby Properties Bhd (SimeProp) menetapkan sasaran jualan hartanah sebanyak RM3.6 bilion bagi tahun kewangan 2025 (FY25), selepas mencatatkan sejumlah RM4.1 bilion pada FY24, jauh melebihi sasaran pengurusan sebanyak RM3.5 bilion.

 

Beberapa penganalisis kekal dengan cadangan 'beli' terhadap pemaju hartanah tersebut selepas mencatatkan prestasi rekod pada FY24, dengan menyatakan, sasaran jualan itu boleh dicapai lebih-lebih lagi dengan perniagaan pusat data kumpulan sebagai saluran pendapatan baharu.

 

RHB Research berkata, sasaran RM3.6 bilion itu mudah dicapai SimeProp berdasarkan perancangan pelancaran projek bernilai RM4 bilion oleh kumpulan.

 

"Setakat 9 Februari 2025, tempahan jualan SimeProp juga telah mencapai RM2 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, jualan yang belum ditagih SimeProp kini berjumlah RM3.7 bilion dan syarikat telah memperoleh perjanjian pusat data bernilai RM7.6 bilion dalam nilai sewaan.

 

RHB Research juga menjangkakan portfolio hartanah pelaburan SimeProp akan terus mengukuh, berkemungkinan membuka jalan bagi penyenaraian beberapa aset di bawah amanah pelaburan hartanah (REIT).

 

Ia menetapkan harga sasaran (TP) sebanyak RM2.33 sesaham untuk SimeProp, sambil mengekalkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY26.

 

Bagi FY24, SimeProp mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM513.3 juta dengan pendapatan sebanyak RM4.3 bilion. 

 

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.5 sen, menjadikan jumlah dividen bagi FY24 sebanyak tiga sen sesaham, berbanding 2.5 sen pada FY23.

 

CGS International Research juga menjangkakan SimeProp akan melepasi panduan jualan FY25 mereka, susulan permintaan yang kukuh untuk hartanah kediaman dan industri.

 

Ia turut mengekalkan saranan 'tambah' terhadap SimeProp dengan harga sasaran RM1.94 sesaham. - DagangNews.com