Shin Yang Group beli tanah, gudang RM12.05 juta di Kuching bagi perluaskan kapasiti logistik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Shin Yang Group beli tanah, gudang RM12.05 juta di Kuching bagi perluaskan kapasiti logistik

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Julai – Shin Yang Group Bhd (SYG) terus memperkukuhkan perniagaan logistiknya dengan pengambilalihan sebidang tanah pajakan bersama bangunan gudang seluas 1.95 hektar di Kuching, Sarawak.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat perkapalan itu memaklumkan, aset tersebut akan dibeli daripada Forescom Plywood Sdn Bhd pada harga RM12.05 juta.

 

Shin Yang berkata, pembelian aset tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan pergudangan dan membangunkan rangkaian logistik syarikat yang lebih bersepadu pada masa akan datang.

 

Syarikat yang terlibat dalam penghantaran kargo pukal dan kontena itu menyifatkan pengambilalihan tersebut sebagai langkah strategik dalam memperkukuh posisi syarikat sebagai penyedia perkhidmatan logistik secara menyeluruh.

 

"Ini juga dapat mengurangkan kebergantungan kami terhadap penyewaan memandangkan aset tersebut akan dimiliki syarikat dan bukan lagi disewa daripada Forescom Plywood.

 

"Hartanah ini terletak secara strategik dalam hab perindustrian Kuching dan kawasan Pelabuhan Kuching, Sarawak. 

 

"Lokasi ini dijangka mempertingkat keupayaan operasi serta kecekapan logistik kumpulan," jelas syarikat itu.

 

Shin Yang menegaskan pengambilalihan itu selaras dengan strategi pengembangan jangka panjang dan akan memberikan sumbangan positif kepada prestasi operasi serta asas aset syarikat secara keseluruhan.- DagangNews.com