Sektor teknologi Malaysia berpotensi raih manfaat akibat perang perdagangan AS-China, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor teknologi Malaysia berpotensi raih manfaat akibat perang perdagangan AS-China, kata RHB Research

Gambar Simon Kadula/Unsplash
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Jun - Sektor teknologi Malaysia dijangka meraih manfaat daripada ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China apabila lebih banyak pengeluar global mencari lokasi alternatif untuk mengembangkan rantaian bekalan mereka.

 

RHB Investment Bank Bhd (RHB Research) berkata, Malaysia mempunyai kelebihan kerana memiliki ekosistem semikonduktor yang mantap, infrastruktur yang baik dan tenaga kerja mahir. 

 

Ini menjadikan negara antara pilihan utama dalam strategi syarikat global di bawah pendekatan China Plus One dan Taiwan Plus One.

 

Penganalisis RHB Research, Lee Meng Horng dan Miza Izaimi berkata, Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada tarif yang dikenakan oleh AS melalui tempahan tergesa-gesa dalam jangka pendek serta pemindahan operasi kilang dalam jangka panjang.

 

Mereka menjelaskan, banyak syarikat mula memindahkan sebahagian operasi ke negara lain di Asia untuk mengurangkan risiko geopolitik dan Malaysia kekal menjadi pilihan kerana pengalaman serta keupayaan yang dimiliki.

 

"Gabungan ekosistem yang baik, tenaga kerja berkemahiran dan kemudahan infrastruktur memberi kelebihan besar kepada Malaysia," kata mereka dalam satu nota kajian.

 

RHB Research mengekalkan pandangan positif terhadap sektor teknologi walaupun terdapat ketidaktentuan permintaan dalam jangka masa terdekat disebabkan lebihan stok.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sektor teknologi Malaysia masih dalam fasa pertumbuhan dan setakat ini belum menunjukkan kesan besar akibat ketegangan perdagangan dunia.

 

RHB Research juga menjangka, kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global akan terus kukuh apabila syarikat antarabangsa mencari lokasi pengeluaran yang lebih stabil dan pelbagai.

 

"Pertumbuhan sektor ini masih berterusan tanpa gangguan besar," jelasnya.

 

Walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan cabaran perdagangan global, RHB Research yakin perubahan dalam struktur rantaian bekalan dunia akan terus menyokong pertumbuhan jangka panjang Malaysia dalam pembuatan teknologi tinggi. - DagangNews.com