KUALA LUMPUR 31 Jan - Sektor petrokimia berkemungkinan besar berdepan isu lebihan bekalan antara dua hingga tiga tahun, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu berpandangan negatif terhadap sektor itu kerana sebaran produk akan menghadapi penambahan kapasiti melebihi pertumbuhan permintaan dalam beberapa tahun akan datang.
"Isu lebihan bekalan dijangka berterusan untuk produk etilena (2025-2028) dan polietilena (2025-2027),yang dipercayai termasuk produk seperti polietilena berketumpatan tinggi (HDPE), polietilena berketumpatan rendah (LDPE) dan polietilena ketumpatan rendah linear (LLDPE).
"Sebaliknya, prospek monoetilena glikol (MEG) kelihatan lebih baik, di mana pertumbuhan permintaan dijangka melebihi penambahan kapasiti pada 2025, sebelum lebihan bekalan pada 2026," katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB berkata, sektor petrokimia berada dalam situasi pemulihan perlahan, dengan penambahan kapasiti begitu besar dalam beberapa tahun akan dating menyebabkannya tidak mungkin menyemak semula paras purata harga jualan (ASP) dalam masa terdekat.
Katanya, situasi terburuk masih belum berakhir untuk Petronas Chemicals Group Bhd kerana kumpulan itu mencatatkan penurunan keuntungan FY25 dari tahun ke tahun selepas kerugian Kompleks Petrokimia Pengerang (PPC) sebanyak RM700 juta setiap tahun.
Selain itu, sebaran PE-nafta yang tidak cukup luas untuk Lotte Chemical Titan Holdings Bhd mencatatkan keuntungan.
"Satu-satunya berita baik ialah pertumbuhan permintaan tahunan metanol, yang dijangka melebihi penambahan kapasiti pada 2026-2030, tetapi mungkin juga menghadapi persekitaran lebihan bekalan jangka pendek pada 2025.
"Urea diunjurkan mempunyai pertumbuhan permintaan 0% pada 2025-2026, dengan kira-kira 2 juta hingga 3 jutan tan penambahan kapasiti baharu akan datang," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "jual" terhadap Petronas Chemicals dan Lotte Chemical Titan.- DagangNews.com








