Sektor penjagaan kesihatan diramal pulih didorong pelancongan perubatan, farmaseutikal - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor penjagaan kesihatan diramal pulih didorong pelancongan perubatan, farmaseutikal - MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Feb – Sektor penjagaan kesihatan diramal memasuki fasa pemulihan dan pemodenan yang kukuh pada 2026, didorong pelancongan perubatan serta pembuatan farmaseutikal.


Menurut MBSB Research, musim keputusan 4QFY25 tempatan dijangka mencerminkan peningkatan jumlah pesakit dalam serta jualan produk farmaseutikal, selari dengan trend global yang tumbuh positif.


Kata firma penyelidikan tersebut, tahun ini juga berpotensi menjadi landasan pelancaran kepada pelancongan perubatan berakuiti tinggi dan ekosistem biofarmaseutikal yang lebih berdikari.


"Keadaan kali ini disokong dengan populasi menua, inisiatif kerajaan serta adaptasi teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam hospital,” katanya dalam nota sektor tersebut hari ini.


Seiring perubahan model perkhidmatan hospital utama di Amerika Syarikat (AS) yang fokus kepada pembedahan bernilai tinggi, MBSB Research percaya operator tempatan juga bergerak ke arah sama.


Langkah ini selari dengan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) yang dijangka meningkatkan permintaan rawatan khusus seperti ortopedik.


Firma itu namun mengingatkan isu inflasi kos dan penstrukturan semula polisi insurans berpotensi menekan margin dalam separuh pertama 2026, khususnya bagi yang bergantung kepada pesakit domestik. 


"Usaha bersepadu Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia mengekang inflasi dijangka memberi kesan jangka pendek, walaupun jumlah pesakit mampan," kata MBSB Research.


Industri sarung tangan tempatan pula jelas firma penyelidikan berkenaan, diramal menyaksikan trend pemulihan secara berterusan bermula suku pertama 2026 selepas fasa pelarasan inventori berakhir.


Cadangan tarif AS ke atas sarung tangan China turut memberi sedikit kelebihan daya saing kepada pengeluar tempatan, meskipun permintaan mungkin sederhana berikutan pengeluaran di negara itu.


Bagi peranti dan kelengkapan perubatan, permintaan global terhadap produk bernilai tinggi seperti perentak jantung, stent dan implan dijangka berkembang pada kadar purata tahunan 9% hingga 9.5%.


"Trend global menyaksikan syarikat GE HealthCare Technologies dan Siemens Healthineers mencatat permintaan, manakala Abbott Laboratories memacu pertumbuhan segmen peranti perubatan," jelasnya.


MBSB Research mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas KPJ Healthcare Berhad dengan harga sasaran (TP) RM2.65 susulan beberapa hospital baharu dijangka menyumbang kepada peningkatan keuntungan.


Sementara itu, Pharmaniaga Berhad dikekalkan pada saranan 'beli' dengan TP 32 sen, disokong faktor pendapatan yang defensif menerusi segmen logistik serta sumbangan baharu dari biofarmaseutikal.


Secara keseluruhan, ia berpandangan naratif 4QFY25 sektor kesihatan menumpukan pemulihan volum dan transformasi struktur, dengan CY26 menjadi fasa pertumbuhan mampan. - DagangNews.com