KUALA LUMPUR 20 Mac - Potensi peningkatan sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI) oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump boleh menimbulkan risiko kepada YTL Power International Bhd, menurut CIMB Securities Research.
Firma penyelidikan itu berkata, sekatan baharu itu mungkin termasuk pemeriksaan identiti yang lebih ketat dan pemeriksaan untuk mengekang eksport pasaran tidak jelas atau akses pintu belakang kepada GPU lanjutan melalui pasaran Tahap 2.
"Semasa taklimat suku kedua tahun kewangan 2025 (FY25), YTL Power berkata,ia masih dalam perbincangan dengan bakal pengambil alih untuk pusat data AI kedua 80MW.
"Walaupun kami percaya bahawa YTL Power akhirnya akan dapat mencapai status pengguna akhir (NVEU) yang disahkan, sekatan yang berpotensi lebih keras boleh menimbulkan ketidakpastian dan memperlahankan perbincangan dengan bakal pengambil alih," katanya dalam satu nota kajian.
CIMB Securities telah mengurangkan ramalan pusat data AI dalam unjurannya kepada 20MW, yang mana YTL Power telah mengesahkan adalah pada sasaran untuk pelancaran komersial pada Julai 2025.
"Kami akan melihat untuk memasukkan semula pusat data AI kedua ke dalam unjuran kami sebaik sahaja kami mendapat petunjuk yang lebih jelas YTL Power semakin hampir untuk menandatangani pihak baharu" katanya.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, YTL Power akan secara progresif memajakkan kapasiti pusat data 188MW pada asas lokasi bersama (20MW daripadanya adalah kepada cabang pusat daya AI sendiri).
Katanya, penyingkiran pusat data AI kedua 80MW menurunkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) teras FY26 kepada FY27 sebanyak 6% hingga 18%, memandangkan perniagaan pusat data AI sangat menguntungkan dengan diandaikan 70% margin EBITDA.
"Selepas semakan, kami meramalkan EPS teras YTL Power turun 10% pada FY25 (disebabkan pendapatan Power Seraya yang lebih rendah disebabkan harga runcit dan kumpulan yang lebih rendah), meningkat semula 22% pada FY26 kepada rekod tertinggi baharu, dan kemudian berkembang sebanyak 1% lagi pada FY27," katanya.
Secara keseluruhan, CIMB Securities telah menurunkan harga sasaran (TP) untuk YTL Power sebanyak 17 peratus kepada RM4.30 daripada RM5.20, berikutan unjuran pusat data AI yang disemak semula. - DagangNews.com








