KUALA LUMPUR 13 Feb - Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) bakal mencatat pertumbuhan bagi segmen yuran, pembiayaan dan kos kredit walaupun berdepan dengan beberapa cabaran pada 4Q24 terutamanya tekanan ke atas margin faedah bersih (NIM) dan perbelanjaan operasi (opex), kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu meramalkan BIMB mencatat opex lebih tinggi tahun-ke-tahun (YoY) dan suku-ke-suku (QoQ) pada 4Q24, didorong oleh pelaburan berterusan dalam infrastruktur teknologi informasi (IT).
Walaubagaimanapun, RHB Research mengunjurkan hasil BIMB bagi tahun kewangan 2024 (FY24) mencecah RM543 juta, iaitu 1% lebih rendah daripada konsensus tahunannnya.
"BIMB yakin prestasi kewangannya mencatat perkembangan lebih tinggi daripada sasaran pertumbuhannya iaitu 3%-4% YoY bagi FY24.
“Majoriti pertumbuhan ini didorong oleh segmen runcit dan komersial, manakala segmen korporat menunjukan perkembangan yang lebih perlahan.
"Kami menjangkakan pendapatan pembayaran yuran teras mencatat prestasi lebih baik pada 4Q24, didorong oleh pembayaran yuran banktakaful," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Firma tersebut juga mendapati pemampatan NIM pada 4Q24 menunjukkan prestasi lebih baik berbanding dengan 4Q23 yang mencatat penurunan sebanyak 4bps.
"Ini boleh membantu BIMB memnuhi sasaran NIM di bawah paras 2.1% bagi FY24.
"Kami juga meramalkan BIMB mengisytiharkan pembayaran dividen akhir sesaham (DPS) pada 3.4 sen.
"Ini mencermikan pembayaran 53% pada andaian keuntungan bersih 4Q24 kami, menjadikan pembayaran setahun penuh kepada 60%," katanya.
BIMB akan mengumumkan prestasi kewangan bagi FY24 pada 28 Februari 2025.
Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan "neutral" ke atas saham BIMB dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM2.45. - DagangNews.com








