KUALA LUMPUR 26 Mac - Segmen pusat data kecerdasan buatan (AI) YTL Power International Bhd diramal menyumbang sehingga RM900 juta kepada pendapatan bersihnya pada pertengahan 2027 dengan syarat ia mencapai kapasiti penuh, kata CGS International.
Katanya, perniagaan pusat data AI kumpulan akan beroperasi pada margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) sebanyak 65% dengan Ebitda per megawatt (MW) sebanyak AS$11.4 juta (RM50.4 juta), apabila kapasitinya meningkat daripada 20MW pada pertengahan 2025 kepada 100MW menjelang pertengahan 2027.
"Pada kapasiti penuh, kami menganggarkan segmen pusat data AI boleh menyumbang RM900 juta kepada pendapatan bersih YTL Power.
"Pemangkin lain termasuk sambungan gentian berkaitan pusat data, penambahan pendapatan baharu, kuasa akretif dan aset air," katanya dalam satu nota kajian.
Unjuran CGS International adalah berdasarkan penanda aras kewangan daripada CoreWeave Inc, firma pengkomputeran awan yang berpangkalan di AS yang disokong oleh Nvidia Corp, yang merupakan pembekal utama cip AI.
YTL Power juga menggunakan cip terbaharu Nvidia dalam operasi pusat data AI miliknya.
"Kami menganggarkan operasi pusat data AI menjana margin Ebitda kira-kira 65% dan Ebitda setiap MW sebanyak AS$10 juta. Ini diperoleh daripada keputusan suku keempat CoreWeave, dengan mengandaikan beban teknologi maklumat berkesan kira-kira 190MW, berbanding dengan jumlah kuasa aktif 360MW pada akhir 2024," katanya.
CGS International mengekalkan penarafan "tambah" untuk YTL Power, mengekalkan harga sasaran (TP) RM4 sesaham.
Bagaimanapun, penarafan itu belum lagi mengambil kira potensi kesan daripada cadangan terbitan bonus satu-untuk-lima waran percuma syarikat.
Sentimen pasaran kekal berhati-hati, berikutan potensi tidak terjual daripada terbitan bonus, yang dijangka selesai menjelang suku kedua 2025.
"Kebimbangan utama ialah waran itu tidak boleh diniagakan, menjadikannya kurang menarik kepada pelabur institusi, yang secara amnya dihadkan daripada memegang instrumen pelaburan tidak tersenarai.
"Terbitan itu melibatkan sehingga 1.67 bilion waran percuma, dengan harga pelaksanaan RM2.45, bertujuan untuk mendapatkan modal untuk pengembangan masa depan," katanya.- DagangNews.com








