KUALA LUMPUR 16 Okt - Segmen petroleum berpotensi melindungi hasil MISC Berhad daripada ketidakstabilan bahagian gas asli cecair (LNG) dan aktiviti luar pesisirnya.
UOB Kay Hian (UOBKH) Research berkata, kekuatan segmen petroleum dilihat dapat mengimbangi risiko selain melindungi tanggungjawab pembayaran dividennya.
Katanya, walaupun terdapat risiko geopolitik dan ketidaktentuan pasaran, asas-asas pasaran kapal tangki minyak mentah kekal kukuh.
"Pendekatan baharu Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) dalam pengurusan bekalan terhadap tarif serta perubahan struktur dalam permintaan minyak mentah/pembangunan penapisan boleh menyebabkan tekanan jangka pendek dalam kadar sewaan kapal tangki spot, namun kadar sewaan jangka masa tetap dijangka kekal kukuh,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, dalam jangka panjang, jumlah kapal tangki minyak mentah global dijangka kekal mencabar, memandangkan bilangan kapal tangki lama terkena sekatan jauh lebih tinggi berbanding buku tempahan baharu.
“Ini menjadi asas kepada prestasi kukuh Indeks Perkapalan Minyak Mentah Drewry yang meningkat 37% setakat tahun ini berbanding pasaran yang lebih luas (Russell 2000, meningkat 7% setakat tahun ini),” katanya.
Katanya, terdapat “banyak faktor pasaran yang positif” bagi kapal tangki minyak mentah. Faktor utama ialah kadar pengeluaran OPEC+ yang terus meningkat apabila kumpulan itu melonggarkan pemotongan pengeluaran.
“Selepas melalui musim panas (di mana negara seperti Arab Saudi menggunakan lebih banyak minyak untuk kegunaan tenaga domestik), serta pertumbuhan bekalan bukan OPEC, Teekay Tankers melaporkan jumlah perdagangan minyak mentah global melalui laut melonjak melebihi 45 juta tong sehari (mbpd) pada September 2025,” kata UOBKH.
Sementara itu, UOBKH berkata, bahagian luar pesisir dan LNG masih berdepan risiko pendapatan.
Firma penyelidikan itu mengekalkan andaian, pendapatan LNG masih lemah bagi separuh kedua 2025 kerana MISC sedang menjalankan program peremajaan armadanya bagi menggantikan kapal LNG berkuasa turbin yang sudah tamat tempoh.
"Kami menjangkakan program peremajaan armada ini hanya akan siap sepenuhnya menjelang 2027," katanya.
Bagi bahagian luar pesisir, firma penyelidikan itu berkata, kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Marechal Duque de Caxias (Mero-3) beroperasi dengan baik dan dijangka menjadi penyumbang utama aliran tunai dalam jangka panjang.
“Sejak pengeluaran minyak pertama pada 30 Oktober 2024, FPSO itu mencatatkan kos penutupan yang tinggi pada 2024 tetapi mencapai kapasiti pengeluaran maksimum pada Mei 2025.
“Namun, disebabkan kerumitan projek tersebut, kami memahami penjanaan aliran tunai daripada FPSO Mero-3 dijangka belum mencapai tahap stabil dalam tempoh 2025.
“Kami menganggarkan kecekapan FPSO berada pada kadar 85% hingga 90%,” katanya.
UOBKH mengekalkan saranan “beli” terhadap MISC dengan harga sasaran (TP) RM8.70 sesaham.- DagangNews.com








