Segmen pembungkusan Scientex diramal berdaya tahan walaupun permintaan lembap dan kos tinggi  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen pembungkusan Scientex diramal berdaya tahan walaupun permintaan lembap dan kos tinggi 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Scientex Bhd menjangka bahagian pembungkusan kumpulan mempunyai peluang membina daya tahan melalui inovasi, kecekapan dan kemampanan di tengah-tengah kesukaran yang dihadapi oleh pasaran pembungkusan global, kata Pengerusi dan Pengarah, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.

 

Pengeluar pembungkusan plastik dan pemaju hartanah itu berkata, pasaran pembungkusan global kini sedang menyaksikan permintaan yang lebih perlahan dan kos tinggi yang boleh memberi kesan kepada kos operasi.

 

“Kami menumpukan kepada mencipta rumusan pembungkusan yang berkualiti tinggi dan mampan, sambil meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan kos.

 

"Inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE) kumpulan juga akan membantu mengurangkan kos tenaga dan menerapkan kemampanan ke dalam strategi jangka panjang kami," katanya dalam satyu laporan kewangan tahunan kumpulan.

 

"Prospek permintaan pembungkusan kumpulan kekal positif dan berjangka panjang perniagaan ini," katanya dalam satu laporan kewangan kumpulan.

 

Beliau juga berkata, sektor hartanah Malaysia sedang menyaksikan tekanan kos berterusan akibat peningkatan dalam kos bahan dan pembinaan.

 

“Walaupun ini memberi tekanan kepada pemaju menaikkan harga bagi mengimbangi kos yang semakin meningkat ini, bahagian hartanah kami mempunyai strategi operasi bagi mengurus kos untuk memastikan harga rumah kami kekal berpatutan.

 

“Melihat ke hadapan, kami menjangka projek hartanah kami kekal kukuh, terutamanya di Johor, di mana projek-projek seperti Pautan Sistem Transit Rapid ke Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka memacu perminaan jangka panjang kumpulan,” katanya.

 

Dalam nota berasingan, Mohd Sheriff berkata, pemerolehan Scientex Packaging (Kajang) Sdn Bhd dan permulaan operasi Loji Filem Regangan Robotik di Shah Alam, terus menyokong dan menjamin kedudukan kumpulan dalam industri pembungkusan.

 

“Kami kekal komited dalam meningkatkan kemampanan rumusan pembungkusan kami, memanfaatkan sinergi dan kecekapan dalaman kami untuk menyampaikan produk inovatif dan berkualiti tinggi yang memenuhi permintaan pasaran yang sedia ada,” katanya.

 

Mengenai hartanah, Mohd Sheriff berkata, usaha pengambilan tanah proaktif Scientex adalah kritikal dalam menyokong penyiapan bilangan rumah mampu milik yang semakin meningkat setiap tahun.

 

“Pada tahun kewangan 2024 (FY24), kami membina 6,017 rumah mampu milik baharu, menandakan peningkatan 62.5% berbanding keluaran tahun sebelumnya,” katanya.  - DagangNews.com