SEDCE–Hydrexia mulakan eksport hidrogen pepejal pertama Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SEDCE–Hydrexia mulakan eksport hidrogen pepejal pertama Sarawak

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Okt - Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), melalui cabang tenaganya SEDC Energy Sdn Bhd (SEDCE), terus memperkukuh aspirasi hidrogen bersih negeri itu dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama penyedia teknologi hidrogen global, Hydrexia, bagi membolehkan penghantaran molekul hidrogen dari Sarawak dan luar negara dalam bentuk pepejal.

 

Langkah ini menandakan kemajuan penting dalam usaha SEDCE untuk membangunkan rantaian nilai hidrogen lengkap, selaras dengan Sarawak Hydrogen Economy Roadmap dan National Energy Transition Roadmap (NETR) negara.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SEDCE, Robert Hardin, hasil beberapa siri kajian dan libat urus dengan agensi berkaitan menunjukkan kaedah penghantaran hidrogen dalam bentuk pepejal adalah pilihan paling sesuai bagi jumlah kecil dan sederhana.

 

“Kaedah ini direka untuk penghantaran yang selamat pada tekanan dan suhu ambien, sambil mengekalkan tahap ketulenan tertinggi. POC ini akan membuka lebih banyak peluang pasaran untuk Sarawak,” katanya.

 

Bukti Keupayaan Eksport Sarawak

Projek Proof-of-Concept (PoC) tersebut akan melibatkan penghantaran hidrogen pepejal menggunakan kontena MHX milik Hydrexia melalui laluan Kuching – Pelabuhan Klang – Singapura – Hong Kong – Kuching, menunjukkan kesediaan teknologi itu untuk penghantaran darat, rel, dan laut secara selamat dan berskala.

 

Pengerusi SEDC, Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Husain, berkata kejayaan PoC ini bukan sahaja mengesahkan keupayaan Sarawak menghasilkan dan mengeksport hidrogen bersih, tetapi juga memperkukuh kedudukannya sebagai hab hidrogen serantau.

 

“Kami bukan sekadar mengesahkan teknologi, tetapi juga keupayaan logistik untuk perdagangan rentas sempadan. Ini meningkatkan keyakinan pembeli, pengawal selia, dan rakan teknologi bahawa Sarawak mampu menjadi pembekal dipercayai di rantau ini,” katanya.


 

Hydrexia

 


Teknologi Selamat, Kos Kompetitif

Hydrexia merupakan penyedia penyelesaian teknologi hidrogen bersepadu yang berpangkalan di Australia dengan operasi global. Teknologi MHX berasaskan magnesium dalam kontena 20 kaki piawai menawarkan keselamatan intrinsik, ketumpatan lebih tinggi, dan fleksibiliti tinggi, menjadikannya pilihan menarik untuk eksport awal hidrogen.

 

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Hydrexia, Alex Fang, menyifatkan penghantaran ini sebagai langkah bersejarah.

 

“Kami berbangga bekerjasama dengan SEDCE dalam penghantaran eksport bersejarah ini. MHX kini membolehkan perdagangan hidrogen rentas sempadan dan membuka peluang baharu di pasaran serantau serta global,” katanya.

 

Menjana Ekonomi Hidrogen Sarawak

Molekul hidrogen daripada Loji Darul Hana H₂ akan diangkut melalui treler tiub sebelum melalui proses hidrogenasi — menyerap molekul ke dalam unit MHX — untuk dieksport ke destinasi luar negara, di mana ia akan dihidrogenasi semula bagi kegunaan seterusnya.

 

Sejak ditubuhkan pada 2019, SEDCE memainkan peranan utama dalam membangunkan infrastruktur dan loji hidrogen Sarawak, termasuk Loji Hidrogen Rembus yang akan membekalkan bahan bakar kepada sistem pengangkutan bandar Kuching (KUTS), serta Sarawak Hydrogen Hub di Bintulu untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

 

Dengan pelbagai projek utama ini, SEDCE kini berada di barisan hadapan inisiatif tenaga bersih Malaysia — satu langkah penting ke arah dekarbonisasi dan sasaran NET ZERO 2050. - DagangNews.com