KUALA LUMPUR 19 Mei – Sedania Innovator Bhd kembali mencatat keuntungan pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 2026 (3QFY26) disokong oleh prestasi kukuh segmen teknologi pengguna mampan yang terus mendapat permintaan dalam penyelesaian pembiayaan digital patuh syariah.
Kumpulan itu berkata keuntungan bersih meningkat kepada RM966,000 pada 3QFY26 berbanding RM135,000 dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Walaupun begitu, hasil suku tahunan susut kepada RM19.47 juta daripada RM22.57 juta pada suku sama tahun lalu, namun kumpulan masih mencatat keuntungan lebih tinggi hasil kawalan kos dan sumbangan kukuh segmen teknologi utama.
“Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 9MFY26, Sedania mencatat keuntungan bersih RM838,000 berbanding kerugian bersih RM910,000 dalam tempoh sama sebelumnya, sekali gus menunjukkan pemulihan ketara prestasi kumpulan.
“Hasil kumpulan bagi tempoh tersebut turut meningkat kepada RM63.63 juta berbanding RM60.23 juta dalam tempoh sebelumnya.
“Pemulihan prestasi dipacu oleh segmen teknologi pengguna mampan yang terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dalam ekosistem pembiayaan digital patuh syariah,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Segmen tersebut bukan sahaja disokong oleh pengguna dan perniagaan secara langsung, tetapi turut mendapat permintaan daripada institusi kewangan termasuk bank, institusi kewangan bukan bank serta pengendali platform digital.
Dalam suku dikaji, segmen itu merekodkan peningkatan hasil sebanyak 67 peratus tahun ke tahun kepada RM5.17 juta, manakala keuntungan operasi meningkat lebih dua kali ganda kepada RM2.4 juta.
Bagi tempoh sembilan bulan pula, segmen berkenaan mencatat peningkatan hasil sebanyak 35 peratus kepada RM11.92 juta, dengan keuntungan operasi meningkat kepada RM4.57 juta.
Pengarah Urusan dan pengasas Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata perkembangan itu menunjukkan perubahan struktur dalam permintaan terhadap penyelesaian kewangan digital patuh Syariah.
Menurut beliau, produk seperti As-Sidq dan GoHalal bukan sekadar mencerminkan pertumbuhan jangka pendek, sebaliknya menunjukkan perubahan asas dalam cara pengguna dan institusi mendapatkan pembiayaan.
“Pelanggan kini semakin cenderung kepada penyelesaian pembiayaan yang selaras dengan nilai, mudah diakses secara digital dan memenuhi keperluan segmen yang sebelum ini kurang mendapat perhatian,” katanya.
Sedania menjangkakan segmen teknologi pengguna mampan akan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan kumpulan pada masa hadapan, disokong oleh permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian pembiayaan digital.
Kumpulan itu turut menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh jenama pengguna melalui pelaburan berterusan dalam pembangunan jenama, inovasi serta strategi penglibatan pelanggan.- DagangNews.com








