SDEC, Univers tubuh Pusat Kecemerlangan Sifar Karbon pertama di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SDEC, Univers tubuh Pusat Kecemerlangan Sifar Karbon pertama di Malaysia

Gambar/FB Sarawak Digital Economy Corporation
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Jun - Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) menjalin kerjasama strategik dengan syarikat teknologi global, Univers, untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Sifar Karbon pertama di Malaysia yang akan dibina di Kuching.

 

SDEC memaklumkan, pusat itu akan menjadi kemudahan yang menggabungkan teknologi digital dan usaha melindungi alam sekitar, bagi membantu peralihan Sarawak kepada ekonomi rendah karbon.

 

Kerjasama tersebut menekankan tiga perkara iaitu memberi nasihat dan merancang strategi digital untuk kerajaan dan syarikat serta menjalankan penyelidikan dan pembangunan melalui makmal terbuka dan lokasi uji kaji.

 

Ia juga merangkumi pelaksanaan projek berkaitan sifar karbon dalam sektor seperti tenaga, pembuatan dan perhotelan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato’ Ir Ts Sudarnoto Osman berkata, kerjasama berkenaan penting bagi menyokong pembangunan mampan di Sarawak menggunakan teknologi digital. 

 

"Sarawak bukan sekadar meneroka teknologi kecerdasan buatan (AI), malah sudah mula menggunakannya. 

 

"Misi kami adalah menghubungkan rakyat dengan peluang, data dengan keputusan dan inovasi dengan infrastruktur," katanya dalam satu kenyataan.

 

Memorandum Persefahaman (MoU) antara SDEC dan Univers ditandatangani pada Forum Gabungan AI dan Kelestarian: Manfaat Pendigitalan untuk Masa Depan di Kuching, baru-baru ini.

 

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kitang, Dato’ Ir Lo Khere Chiang; Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MCC), Ariffin Mohammad; Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Information Systems Sdn Bhd (Sains), Busiai Seman; dan Ketua Pegawai Operasi Arc Tech, Hii Ding Sin.

 

Sementara itu, Naib Presiden Global Univers, Arun Poojari berkata, kerjasama tersebut akan membantu Sarawak bergerak lebih pantas ke arah masa depan rendah karbon dengan menggunakan sistem pintar berasaskan AI bagi menjimatkan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.

 

Selain penubuhan pusat berkenaan, kerjasama antara SDEC dan Univers juga akan melibatkan pembangunan bakat tempatan, program latihan serta perkongsian ilmu.

 

Inisiatif itu selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang menyasarkan pembinaan ekonomi digital yang mampan. - DagangNews.com