KUALA LUMPUR 30 Jun - SD Guthrie Bhd terus menggiatkan usaha membangunkan kawasan perindustrian dengan memeterai beberapa kerjasama, Memorandum Persefahaman (MoU) dan perjanjian jualan tanah melibatkan lebih 2,387 hektar di lokasi strategik seluruh negara dalam tempoh setahun lalu.
Langkah itu akan memanfaatkan tanah milik syarikat untuk menjana pendapatan baharu, sambil menyokong usaha kerajaan menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menggalakkan pembangunan industri secara mampan.
Menurut seorang penganalisis, projek-projek tersebut membantu SD Guthrie menambah sumber pendapatan selain sektor sawit.
"SD Guthrie memiliki banyak tanah perladangan di seluruh negara. Dengan menukar sebahagian tanah kepada kawasan perindustrian, syarikat boleh menjana pendapatan tambahan dan menggunakan aset dengan lebih berkesan," katanya dalam satu laporan.
Antara projek utama SD Guthrie adalah pembangunan Zon Perdagangan Bebas Port Dickson (PDFZ) di atas tanah seluas 242 hektar di Ladang Sengkang, Port Dickson, melalui kerjasama dengan Menteri Besar Incorporated Negeri Sembilan (MBINS).
Projek berkenaan adalah sebahagian daripada koridor pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).
PDFZ dijangka berkembang hingga 574 hektar, merangkumi gudang, hab logistik, kilang dan kemudahan lain.
Lokasinya berdekatan pelabuhan kontena pintar Midport yang sedang dibangunkan oleh Tanco Holdings Bhd.
Pelan induk projek dijangka siap pada suku pertama 2026 dan kerja pembinaan dijangka bermula suku berikutnya.
Selain itu, SD Guthrie juga bekerjasama dengan Sime Darby Property untuk membangunkan sehingga 809 hektar tanah di Pulau Carey.
Projek tersebut bakal menyokong rancangan kerajaan negeri Selangor menjadikan kawasan berkenaan sebagai hab industri dan logistik baharu, serta melengkapkan operasi di Westport dan Northport.
Pembangunan itu akan dijalankan melalui penubuhan syarikat khas (SPV) dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan mencadangkan pengerusinya.
Ketika ini, SD Guthrie memiliki kira-kira 11,592 hektar tanah di Pulau Carey.
Selain kawasan Lembah Klang, SD Guthrie juga aktif membangunkan projek perindustrian di negeri-negeri lain termasuk:
* Mukim Jimah, Negeri Sembilan: Usaha sama dengan Eco World Development dan NS Corporation untuk membangunkan 483.6 hektar projek bernilai RM2.95 bilion.
* Kulai, Johor: Pembangunan Taman Perindustrian Hijau seluas 259 hektar bersama AME Elite Consortium Bhd.
* Bukit Pelandok, Negeri Sembilan: Pembangunan industri seluas 187.7 hektar bersama TH Properties.
* Kerian, Perak: Pelancaran Taman Perindustrian Hijau Bersepadu (KIGIP) seluas 404.7 hektar dengan sokongan ladang solar 267 hektar bersama PNB.
CIMB Securities menganggarkan, jika semua MoU dan perjanjian yang ditandatangani berjaya menghasilkan jualan tanah pada harga purata RM10 sekaki persegi, SD Guthrie boleh meraih hasil jualan sehingga RM2.57 bilion.
Keuntungan bersih selepas cukai dianggarkan mencecah RM1.3 bilion, jauh melebihi sasaran tahunan syarikat iaitu RM500 juta.
CIMB mengekalkan saranan 'tahan' ke atas saham SD Guthrie dengan harga sasaran RM5.06 sesaham.
Sementara itu, Kenanga Research menjangka projek SD Guthrie di Port Dickson mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) antara RM1 bilion hingga RM3 bilion, bergantung kepada tempoh pelaksanaan yang dijangka mengambil masa lima tahun atau lebih.
Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut masih mengekalkan unjuran pendapatan syarikat bagi tahun kewangan 2025 dan 2026, serta mengekalkan saranan 'prestasi setara pasaran' dengan harga sasaran RM4.60 sesaham.
Kenanga Research turut memberi amaran, beberapa faktor boleh menjejaskan prestasi SD Guthrie, termasuk isu kelestarian sawit yang terus mendapat perhatian negara Barat, cuaca tidak menentu, kekurangan tenaga kerja, harga komoditi yang rendah dan kenaikan kos operasi.
Namun, penglibatan syarikat dalam pembangunan hartanah perindustrian dilihat sebagai langkah jangka panjang yang positif kerana berpotensi meningkatkan pulangan kepada pemegang saham, walaupun kesannya mungkin hanya dapat dilihat dalam beberapa tahun lagi.
"SD Guthrie mempunyai aset yang kukuh, tetapi pertumbuhan pendapatannya masih sederhana.
"Jualan tanah tetap mampu memberi pulangan tambahan kepada pemegang saham," kata Kenanga Research. - DagangNews.com








