KUALA LUMPUR 21 Mac - Scanwolf Corp Bhd memperoleh kontrak bernilai RM42 juta untuk kerja-kerja substruktur bagi dua blok komersial di Jalan Ampang dalam transaksi pihak berkaitan (RPT).
Scanwolf berkata, anak syarikat milik penuhnya, Scanwolf Builder Sdn Bhd (SBSB), telah menerima surat anugerah daripada Fixus Construction Sdn Bhd.
"Transaksi ini diklasifikasikan sebagai RPT kerana Pengarah Urusan dan pemegang saham utama Scanwolf, Eddy Seah Ley Hong, yang memegang 60.6% saham, juga merupakan pemegang saham tunggal dan Pengarah Fixus Construction," katanya dalam satu makluman di Bursa Malaysia.
Menurutnya, kontrak tersebut melibatkan kerja-kerja sub-struktur untuk pembangunan bercampur di Jalan Ampang, yang merangkumi blok SOHO setinggi 69 tingkat (775 unit), blok SOVO setinggi 78 tingkat (1,440 unit) dan struktur 10 tingkat yang menempatkan unit runcit, utiliti, dan tempat letak kereta.
Jelas Scanwolf, skop kerja termasuklah penanaman cerucuk, struktur penahan di aras bawah tanah dan sistem penahanan di tapak dengan tangki air di bawah aras lantai terendah.
Tambahnya, kontrak selama 20 bulan itu, dijadualkan bermula pada 20 Mac 2025 dan dijangka siap pada 19 Nov 2026.
“Kontrak baharu ini mengukuhkan kehadiran SBSB yang semakin berkembang dalam sektor pembinaan dan kemudahan, menunjukkan keupayaan kami untuk menyesuaikan diri dan berinovasi terhadap permintaan pasaran,” katanya.
Syarikat itu berkata, kejayaan pelaksanaan projek tersebut akan memperkukuh reputasi dan prestasi kewangannya. - DagangNews.com








