SC lantik Abdulkader Thomas sebagai Felo Sultan Nazrin Shah pertama perkukuh kepimpinan pemikiran kewangan Islam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC lantik Abdulkader Thomas sebagai Felo Sultan Nazrin Shah pertama perkukuh kepimpinan pemikiran kewangan Islam

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 FebSuruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melantik Dr Abdulkader Thomas sebagai Felo Sultan Nazrin Shah yang pertama memperkukuh kepimpinan pemikiran dan inovasi kewangan Islam.


Menurutnya dalam satu kenyataan, pelantikan itu berkuat kuasa 1 November 2025 susulan perkenan Sultan Nazrin Shah, yang juga penaung diraja inisiatif kewangan Islam Malaysia, awal bulan ini.


Tambahnya, Abdulkader, 69, akan menerajui siri kajian berkaitan pasaran kewangan Islam termasuk memperkasakan kepimpinan pemikiran Malaysia berteraskan Maqasid al-Shariah atau prinsip syariah.


"Inisiatif ini juga menumpukan usaha perluasan aplikasi sebagai konsep sejagat mampu menyelaraskan pasaran modal Islam dengan objektif pelaburan mampan dan bertanggungjawab," kata SC hari ini.


Selain penyelidikan, program felo itu akan menyokong libat urus bersama penggubal dasar, pengawal selia, institusi kewangan dan rakan akademik, termasuk memperkukuh kerjasama dengan negara lain. 


Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, program felo itu membuka ruang untuk melibatkan sarjana dan peneraju industri bertaraf global dalam usaha membentuk masa depan kewangan Islam.


Di samping itu jelas beliau, Felo Sultan Nazrin Shah diasaskan berlandaskan kepada hubungan jangka panjang antara SC dan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) yang terjalin sejak lebih 15 tahun.


“Inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada penyelidikan perintis serta menggalakkan perkongsian strategik dan pemindahan ilmu bagi pembangunan kewangan Islam,” katanya dalam kenyataan tersebut.


Sejak 2010, kerjasama itu dizahirkan menerusi Meja Bulat Tahunan SC-OCIS yang menjadi platform dialog berterusan mengenai evolusi kewangan Islam dan pembangunan idea baharu Pasaran Modal Islam.


Jelas Mohammad Faiz lagi, penubuhan felo tersebut mencerminkan komitmen berterusan badan pengawal selia itu dalam membentuk masa depan industri melalui pengetahuan, inovasi dan kolaborasi global.


Langkah ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global kewangan berasaskan Syariah, dengan Abdulkader dipilih kerana memiliki pengalaman luas dalam industri kewangan Islam.


"Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif American Journal of Islamic Finance, selain memegang jawatan kanan Unit Perbankan Pelaburan Islam di United Kuwait Bank," katanya. - DagangNews.com