SC dan ICAEW jalin kerjasama tingkatkan kepakaran pendedahan kelestarian di ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC dan ICAEW jalin kerjasama tingkatkan kepakaran pendedahan kelestarian di ASEAN

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi (kiri) dan Ketua Eksekutif ICAEW, Alan Vallance semasa majlis menandatangani Surat Niat (LOI). Gambar/Instagram ICAEWSEA
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Feb - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW), memulakan kerjasama melalui Surat Niat dalam beberapa bidang berkaitan kelestarian.

 

Kerjasama itu memberi fokus kepada pembinaan kapasiti, dengan ICAEW menyediakan latihan khusus mengenai pendedahan kewangan yang berkaitan dengan iklim, penyediaan program untuk memperoleh sijil kelestarian, penggunaan filem latihan ICAEW dan bidang-bidang lain.

 

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, ICAEW mengadakan bengkel pada 14 Februari 2025 semasa Mesyuarat Pengerusi Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) di Pulau Pinang. 

 

Bengkel tersebut membincangkan perkara penting dalam pendedahan kelestarian dan amalan terbaik pengawalseliaan, termasuk Piawaian IFRS S1 dan S2 untuk pendedahan berkaitan iklim dan kelestarian, laporan serta cabaran pengukuran pelepasan karbon Skop 3, kesan peraturan iklim global, serta peranan pengawal selia dalam dasar kelestarian dan penglibatan pihak berkepentingan.

 

Kerjasama berkenaan amat relevan seiring peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema Keterangkuman dan Kelestarian.

 

Ketua Eksekutif ICAEW, Alan Vallance berkata, kepercayaan, etika dan kelestarian mesti menjadi teras pasaran modal. 

 

"Kelestarian bukan sahaja tentang pematuhan, ia adalah keperluan perniagaan yang memacu ketahanan, inovasi dan kejayaan jangka panjang. 

 

"Melalui kerjasama dengan SC Malaysia, ICAEW menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kepakaran pengawalseliaan dalam kelestarian di seluruh ASEAN," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah beliau, kerjasama itu juga akan membekalkan pengawal selia dengan alat dan pandangan yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan piawaian ESG global sambil memastikan pengawalseliaan kekal menyokong dan bukannya menghukum. 

 

"Dengan memupuk pembinaan kapasiti, perkongsian pengetahuan dan inovasi kewangan kelestarian, kita boleh bekerjasama untuk membina pasaran modal ASEAN yang saling berhubung, menyeluruh dan tahan lasak," ujarnya.

 

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi pula menekankan keperluan untuk meningkatkan kemahiran pengawal seliaan.

 

"Jawatan Pengerusi ASEAN Malaysia pada 2025 memberi peluang untuk memacu kelestarian dan ketahanan kewangan. 

 

"Kerjasama kami dengan ICAEW memastikan kami kekal di hadapan piawaian global sambil membekalkan pengawal selia untuk menyokong peserta pasaran. Bersama, kita dapat memperkukuh pasaran modal ASEAN dan keyakinan pelabur" ujarnya.

 

Beliau berkata, seiring dengan komitmen ICAEW untuk memperjuangkan kelestarian dan kecemerlangan profesional di seluruh dunia, perkongsian itu menggambarkan peranannya dalam memberdayakan profesional kewangan, pembuat dasar dan pengawal selia dengan alat yang diperlukan untuk mendorong perubahan. - DagangNews.com