KUALA LUMPUR 30 Jun - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membuka ruang maklum balas orang ramai bagi cadangan penambahbaikan rangka kerja kawal selia untuk pertukaran aset digital (DAX).
SC berkata, ia bertujuan untuk mengukuhkan daya saing pasaran aset digital yang dikawal selia di Malaysia, selain memperkukuh perlindungan pelabur serta integriti pengendali DAX.
"Sejak rangka kerja DAX diperkenalkan pada 2019, industri aset digital negara mencatat pertumbuhan stabil termasuk jumlah nilai dagangan tertinggi sebanyak RM13.9 bilion pada tahun 2024.
"Ia menunjukkan peningkatan 2.6 kali ganda berbanding tahun sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan.
Peningkatan minat daripada pengantara pasaran modal konvensional dan pelabur institusi untuk menyertai pasaran aset digital, sama ada menerusi pelaburan langsung mahupun tidak langsung melalui dana pelaburan.
SC menjelaskan, DAX memainkan peranan penting dalam menyediakan capaian pelaburan aset digital yang bertanggungjawab dalam persekitaran terkawal selain menyokong pasaran adil, telus, dan teratur.
Langkah itu bertujuan mempercepat masa ke pasaran, meningkatkan akauntabiliti pengendali, dan memperluas penawaran produk.
Selain itu, keperluan berkaitan perlindungan aset dan tadbir urus pelanggan akan dipertingkatkan.
Pengendali DAX tertakluk kepada kawalan operasi dan tadbir urus lebih ketat termasuk pengasingan aset pelanggan, sejajar dengan tahap risiko yang dihadapi.
Syarikat juga mencadangkan penetapan kriteria kewangan minimum tertentu bagi pengendali DAX untuk menjamin daya tahan kewangan.
SC turut mengalu-alukan maklum balas daripada pihak berkepentingan termasuk pengeluar aset digital, pengendali DAX sedia ada, institusi kewangan, peserta pasaran modal, persatuan industri, serta professional perundangan dan pematuhan.
Tempoh perundingan awam itu berlangsung dari 30 Jun hingga 11 Ogos 2025.- DagangNews.com








