Sasbadi, Agmo bekerjasama bangunkan model pendidikan dikuasakan AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sasbadi, Agmo bekerjasama bangunkan model pendidikan dikuasakan AI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Okt - Sasbadi Holdings Berhad menjalinkan kerjasama dengan Agmo Holdings Berhad bagi membangunkan Model Bahasa Besar Tempatan dikuasakan kecerdasan buatan (AI) bagi sektor pendidikan digital di Malaysia.

 

Kerjasama itu dimeterai melalui perjanjian usaha sama yang ditandatangani pada 18 Oktober antara Agmo Capital Sdn Bhd dan Penerbitan Minda Sdn Bhd.

 

Menerusi perjanjian tersebut, Penerbitan Minda akan bertindak sebagai syarikat usaha sama (JV), dengan Sasbadi memegang 55% kepentingan ekuiti, manakala Agmo Capital memiliki baki 45%.

 

Inisiatif itu dilihat sebagai langkah penting ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia terhadap kedaulatan data dan sistem pendidikan dipacu AI, selaras dengan Pelan Induk Kecerdasan Buatan Nasional 2021–2025, Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) serta Dasar Pendidikan Digital negara.

 

Di bawah perjanjian itu, Sasbadi akan menyumbang aset digital pendidikan, kandungan proprietari dan kepakaran bidang bagi melatih serta memperhalusi Model AI tersebut.

 

Model berkenaan akan diselaraskan dengan Kurikulum Kebangsaan dan direka bentuk untuk menyokong pengalaman pembelajaran dwibahasa yang diperibadikan kepada pelajar dan pendidik di seluruh negara.

 

Agmo Capital akan bertanggungjawab membangunkan serta menyelenggara model berkenaan — termasuk reka bentuk seni bina, integrasi set data, dan pengoptimuman prestasi.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Sasbadi Holdings Berhad, Law King Hui, berkata kerjasama itu merupakan langkah penting dalam transformasi digital syarikat itu.

 

“Kerjasama ini adalah antara langkah dalam perjalanan transformasi digital Sasbadi. Dengan menggabungkan kepakaran kami dalam pendidikan bersama keupayaan AI Agmo, kami bakal mencipta model bahasa tempatan yang akan mentakrif semula cara rakyat Malaysia belajar, mengajar dan berinteraksi dengan ilmu pengetahuan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan agenda digital negara dan memperkukuh strategi pertumbuhan jangka panjang Sasbadi dalam sektor pendidikan digital dan AI.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agmo, Tan Aik Keong berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Sasbadi dalam membangunkan LLM pertama untuk pendidikan Malaysia. 

 

"Sinergi antara kekuatan kandungan pendidikan Sasbadi dan kehebatan teknikal Agmo akan memacu inovasi serta mewujudkan nilai besar kepada ekosistem pendidikan dan pemegang saham.

 

"Matlamat utama kerjasama ini ialah untuk menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam pembangunan AI yang bertanggungjawab dan relevan dengan budaya tempatan," katanya.- DagangNews.com