KUALA LUMPUR 3 Mac – Pengerusi Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Seri Saripuddin Kasim meletak jawatan berkuat kuasa 1 Mac 2026.
MRT Corp dalam satu kenyataan memaklumkan, Saripuddin memilih untuk meletak jawatan tersebut kerana mahu memberi fokus kepada perkara lain.
Namun, tiada mana-mana individu dinamakan sebagai pengganti untuk mengisi kekosongan tersebut.
Saripuddin memegang jawatan sebagai Pengerusi sejak 19 November 2025, kurang daripada empat bulan berkhidmat di MRT Corp.
Sebelum menyertai MRT Corp, beliau merupakan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dari Mei 2020 sehingga pembubaran suruhanjaya itu pada Ogos 2025.
Saripuddin memulakan kerjayanya dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1984.
Beliau kemudiannya memegang pelbagai jawatan kanan dalam perkhidmatan awam termasuk sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Sumber Manusia, dan Kementerian Wilayah Persekutuan.
Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam, Saripuddin dianggap sebagai tokoh berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan pengurusan projek strategik. - DagangNews.com








