KUALA LUMPUR 19 Feb – Sarawak Metro Sdn Bhd terus memperkukuh komitmennya dalam membangunkan bakat kejuruteraan tempatan melalui Program Bakat Muda (YTP) untuk menyediakan tenaga profesional berkemahiran tinggi bagi menyokong projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Ia adalah inisiatif di bawah Program Pembangunan Pemerkasaan Sosio Ekonomi (SEED) Sarawak Metro yang kini memasuki kohort ketiga dengan 16 pelatih berjaya menamatkan latihan selama dua tahun secara intensif.
Sejak dilancarkan pada 2021, YTP telah memberikan peluang latihan kepada 41 jurutera muda tempatan, melebihi sasaran awal 50 pelatih dan 17 lagi pelatih dijangka menamatkan latihan menjelang akhir tahun ini.
Graduan program ini kini menyertai Sarawak Metro sebagai pekerja sepenuh masa, membolehkan mereka terus menyumbang kepada pembangunan sistem pengangkutan bandar yang mesra alam dan berteknologi tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa berkata peranan mereka amat penting dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek KUTS.
“Menamatkan latihan dua tahun bukan perkara mudah. Pencapaian ini bukan sahaja meraikan kejayaan mereka, tetapi juga menandakan permulaan kerjaya profesional dalam sektor pengangkutan bandar moden,” katanya dalam satu kenyataan.
Mazli turut mengiktiraf sumbangan jurutera berpengalaman dan pakar teknikal yang bertindak sebagai mentor, memastikan pemindahan ilmu dan panduan profesional menjadi tunjang kejayaan program ini.


Sementara itu, Pengarah Program SEED Alexius Barieng berkata YTP bukan sekadar latihan, malah ia adalah platform untuk melahirkan profesional muda yang mahir dalam integrasi sistem, keselamatan, pendigitalan dan kelestarian, sekali gus menyokong transformasi pengangkutan bandar di Sarawak.
Majlis graduasi itu menyaksikan penyampaian sijil dan jaket khas kepada graduan, manakala Anugerah Pelatih Terbaik diberikan kepada Afiqah Mohammed Yunus dan Anugerah Mentor Terbaik kepada Ahmad Yusri Ahmad Yusuf.
Sepanjang program, pelatih menjalani latihan praktikal dalam pelbagai disiplin termasuk operasi, penyelenggaraan, dan pemeriksaan teknikal kenderaan, kejuruteraan operasi, sistem isyarat dan komunikasi, sistem bas hidrogen, serta jaminan sistem.
Mereka juga terlibat dengan pencapaian teknikal utama KUTS seperti pemeriksaan pertama, ujian penerimaan kilang, pemeriksaan pasca pemasangan dan pemeriksaan pra-penyerahan kenderaan ART hidrogen.
Pelatih terpilih mendapat pengalaman industri sebenar melalui penempatan di pengeluar peralatan asal (OEM), termasuk penyertaan dalam semakan reka bentuk awal dan ujian prototaip kenderaan ART hidrogen.
Projek KUTS membangunkan tiga laluan utama di Kuching menggunakan kenderaan ART hidrogen tanpa rel. Projek ini selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memajukan ekonomi hidrogen dan mengurangkan karbon dalam pengangkutan awam. - DagangNews.com








